PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak memberi kesan besar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pemimpin PBM bukanlah terdiri daripada ahli parti Bersatu.

“Larry Sng (Ahli Parlimen Julau) dahulunya bekas PKR tetapi menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Antara bekas pemimpin Bersatu yang menyertai PBM ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang sedang berdepan tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia dan ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam.

Kedua-duanya merupakan bekas pemimpin DAP sebelum menyertai Bersatu pada Mac 2020.

Sivasubramaniam dilantik sebagai Naib Presiden Kanan II PBM manakala Choo Kiong memegang jawatan Bendahari Agung.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menggesa kerajaan menamatkan kontrak lantikan bekas-bekas pemimpin Bersatu yang menyertai PBM.

Menurut beliau, langkah tersebut wajar dibuat kerana PBM bukanlah sebahagian daripada PN atau mana-mana gabungan kerajaan sekarang.

Satu lagi pilihan, kata Dr Muhammad Faiz, adalah meminta mereka meletakkan jawatan secara sukarela.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here