PELBAGAI alasan diberikan saksi-saksi pendakwaan yang tidak dapat hadir ke mahkamah pagi tadi untuk perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.28 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Memetik laporan Malaysiakini, antara alasan diberikan enam saksi terbabit adalah cuti perubatan kerana demam, berada di luar negara di London, mengalami cirit-birit, masih dalam kuarantin selepas pulang ke Malaysia selepas mengerjakan umrah, mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 hari ini, dan perlu menghadiri dua mesyuarat syarikat.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan ke 2.30 petang ini bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan sekurang-kurangnya seorang daripada lebih 50 saksi yang perlu hadir untuk memberi keterangan.
Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram memaklumkan bahawa saksi pendakwaan ke-12, bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, tidak dapat hadir hari ini kerana demam dan mendapat cuti sakit.
“Kami (pendakwaan) sepatutnya memanggil Azmi Tahir untuk meneruskan (memberi keterangan hari ini). Malangnya, saya telah dimaklumkan pagi ini bahawa saksi kami telah pergi ke klinik dan mendapat MC (sijil cuti sakit) mengatakan dia tidak boleh meneruskan (prosiding) hari ini,” kata timbalan pendakwa raya itu sambil menambah mata saksi kelihatan sangat merah dan suhu badannya panas.
Semalam, Azmi memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Hariharan Tara Singh.
Apabila hakim Sequerah meminta pihak pendakwaan memanggil saksi lain untuk hadir di kandang saksi pagi ini, Akram memaklumkan mereka telah berhubung dengan lima saksi lain tetapi mendapati mereka juga tidak dapat hadir atas pelbagai alasan.
Lima saksi terbabit ialah Johan Idris, rakan kongsi pengurusan KPMG yang pernah mengaudit 1MDB sebelum ini; bekas pegawai khas Najib Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail; bekas ahli lembaga pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail; bekas pegawai syarikat 1MDB, Lim Poh Seng serta bekas pengarah setiausaha dan pematuhan TRX City Sdn Bhd, Goh Gaik Kim.
“Saya memanggil lima saksi. Tetapi Johan Idris berada di London dan hanya boleh hadir pada 29 Jan; Ahmad Shihab tidak dapat ditemui kerana mengalami cirit-birit sejak tiga hari lalu; Ismee tiada kerana dia baru pulang selepas mengerjakan umrah (dari Arab Saudi) dan dia kini dikuarantin; Lim Poh Seng menjalani suntikan dos penggalaknya hari ini; dan Goh Gaik Kim juga tidak ada kerana dia perlu menghadiri dua mesyuarat syarikat (hari ini), saya menyuruhnya membatalkannya tetapi dia berkata ia penting,” kata Akram.
Sequerah kemudiannya memaklumkan kepada timbalan pendakwa raya itu untuk cuba mendapatkan sekurang-kurangnya seorang daripada lebih 50 saksi pendakwaan supaya hadir prosiding petang ini.
Hakim perbicaraan itu kemudian mengosongkan prosiding pagi ini dan mengarahkan ia bersambung semula pada 2.30 petang ini. Najib dilihat di kandang tertuduh.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Sementara itu, memetik laporan Bernama, perbicaraan tersebut dilapangkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan bahawa saksi pendakwaan tidak dapat hadir untuk memberi keterangan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pendakwaan telah cuba menghubungi beberapa saksi supaya hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan namun mereka sama ada sedang bekerja atau mempunyai hal lain yang perlu diselesaikan.
“Kami tidak dapat mengemukakan saksi lain kerana tempoh yang begitu singkat. Kebanyakan mereka sedang bekerja. Saya mohon maaf Yang Arif. Justeru, saya memohon agar perbicaraan hari ini dilapangkan. Tarikh perbicaraan seterusnya ialah pada 26 dan 27 Jan.
“Kami sudah menyediakan empat saksi pada tarikh terbabit iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir, bekas Pengarah 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail (bekas pegawai khas Najib).
“Jika berlaku keadaan seperti hari ini (saksi tidak dapat memberi keterangan kerana tidak sihat), kami akan mempunyai saksi lain,” katanya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengucapkan terima kasih kepada timbalan pendakwa raya itu atas usahanya.
“Jumpa anda semua pada 26 Jan,” katanya.
Leave a Reply