SEPASANG kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Disember lepas.

M Sutha, 26, yang merupakan ibu kandung kepada kanak-kanak itu dan S Davandakumar, 28, hanya mendiamkan diri ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P Sarulatha.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan bersama, pasangan kekasih itu secara bersama telah menyebabkan kematian K Nithish di sebuah rumah di Jalan Hulubalang, Taman Sentosa, Klang, pada 24 Disember lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Mac depan.

Pada 28 Disember lepas, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai akibat didera menggunakan kayu, tali pinggang serta penyangkut baju di daerah itu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here