SELAMAT menyambut kedatangan Tahun Baharu 2022 diucapkan kepada semua rakyat Malaysia.

Semoga dengan kehadiran tahun baharu kali ini bakal menghadirkan satu lembaran amat bermakna untuk kita semua.

Oleh itu, marilah sama-sama kita merenungi apa yang telah berlaku dengan menjadikannya sebagai suatu pengalaman indah disamping terus berusaha memperbaiki setiap kesilapan lalu.

Dengan terpancarnya matahari 2022 ini, penulis juga ingin mengajak semua rakyat di negara ini agar dapat merenung kembali setiap perkara yang belum selesai serta mana-mana impian yang dikatakan musnah.

Kenapa ia terjadi? Ayuh! marilah kita bangkit semula untuk meneruskan perjalanan hidup dan perjuangan yang masih belum selesai.

Kita seharusnya menjadikan kejayaan orang lain sebagai satu titik tolak dalam mengubah ke arah sebuah kehidupan cemerlang dengan mengimbas semula setiap kegagalan di masa silam.

Justeru, bagi menggapai setiap impian tersebut, kehadiran cahaya 2022 kali ini seharusnya tidak lagi membelenggu kita dengan permainan ‘fantasi’ disamping terus berada dalam keadaan ‘berteka teki’.

Sudah sampai masanya kita kurangkan bercakap daripada bekerja serta elakkan daripada ‘berpersepsi’ negatif berbanding realiti.

Kita mesti mempunyai agenda besar dan impian tersendiri, bukan setakat melahirkan perkataan azam yang tidak pernah tertunai pada setiap kali menjelma tahun baharu.

Dunia kini semakin tua, menyebabkan usia penulis juga turut berganjak dan tidak lagi secergas dahulu.

Keindahan dan keaktifan penulis sewaktu menempuh zaman remaja dengan berhadapan peristiwa pahit manis adalah diluar jangkauan fikiran.

Apabila teringat di zaman remaja, penulis hanya mampu tersenyum sendirian setiap kali ia terimbas dalam ingatan.

Sekitar akhir tahun 1980an dan awal 1990an, penulis banyak menyambut ketibaan tahun baharu dengan membuat liputan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

Ketika itu penulis bertugas sebagai wartawan hiburan.

Pada sebelah malam, liputan adalah melibatkan konsert hiburan dan persembahaan kebudayaaan sehingga menjelang detik 12 malam, pada sebelah siang pula terutama waktu petang hujung minggu liputan akan tertumpu di Tasik Perdana, Tasik Titiwangsa dan juga Tasik Permaisuri.

Sebenarnya, Dataran Merdeka Kuala Lumpur ketika itu amat sinonim dengan penulis selain Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pusat Penerangan Pelancongan (MATIC) Jalan Ampang.

Bukan sahaja pada malam tahun baharu penulis akan berada di situ, sebaliknya pada malam-malam perayaan tertentu, pasti kelibat penulis bersama rakan-rakan wartawan hiburan mudah ditemui di lokasi tersebut.

Malah, antara penulis dan Dataran Merdeka banyak terselit cerita dan kenangannya.

Namun, kini semuanya dalam ingatan, semalam yang ditinggalkan adalah sebagai satu kenangan indàh.

Antarà kenangan yang sukar dilupakan ialah penulis pernah tertidur di Dataran Merdeka akibat keletihan.

Selepas meninggalkan dunia hiburan dan agak lama tidak lepak di Dataran Merdeka, kali terakhir penulis berpeluang menjejakkan semula kaki ke lokasi berkenaan ialah pada 31 Oktober 2017.

Pada tarikh itu penulis bersama 30 peserta Gabungan Persatuan Kebudayaan Negeri Terengganu (Gabudaya) diberi peluang mengadakan persembahan khas ‘Segmen Balada Penyair Laut [email protected] J.M.Aziz.

Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pengurusan Sekreatariat Pesona Terengganu itu merupakan salah satu aktiviti diadakan sempena Minggu Promosi Tahun Melawat Terengganu 2017.

Persembahan itu berdasarkan karya dan arahan penyair Terengganu, Marzuki Ali sebagai satu penghormatan kepada tokoh sastera Terengganu, Allahyarham Datuk J.M.Aziz.

Dalam persembahan tersebut, ia turut menggabungkan elemen lakon, lagu-lagu puisi, deklamasi puisi, syair, gurindam dan tarian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here