Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

ABDUL Hamim Ab. Hamid atau lebih dikenali sebagai Long Tiger yang diberkas di Sungai Petani, Kedah, semalam dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak, Muar, hari ini untuk direman.

Lelaki berketurunan Rohingya berusia 32 tahun itu dibawa ke mahkamah bersama-sama tiga lelaki yang berusia 36, 38, dan 46 tahun dipercayai terlibat memberi perlindungan kepada Long Tiger.

Semua mereka termasuk lelaki yang berperwatakan wanita ditahan bersama-sama Long Tiger di Sungai Petani dan Yong Peng, Batu Pahat, direman selama empat hari bermula Rabu hingga 1 Januari.

Perintah reman terhadap Long Tiger dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin bagi siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan manakala tiga lelaku berkenaan disiasat di bawah Seksyen 216 kanun sama.

Semalam, penjenayah paling dikehendaki dalam buruan polis itu ditangkap ketika bersembunyi di sebuah rumah di Sungai Petani pada pukul 3.15 petang.

Semasa tangkapan oleh polis Bukit Aman itu, Long Tiger mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Long Tiger bertindak meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu hadapan pada 15 Disember lalu ketika menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.

Lelaki Rohingya itu juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

Polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan yang berusia 41 dan 43 tahun baru-baru ini kerana disyaki rakan subahat kepada Long Tiger di Balai Polis Bukit Gambir, Tangkak pukul 12.30 tengah malam.

Dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri, kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here