BAGI penduduk di Pantai Timur, kejadian banjir besar bukanlah fenomena luar biasa setiap kali tiba musim tengkujuh.

Kebanyakan mereka sudah ‘terbiasa’ dan lali dengan kejadian seperti itu.

Berdasarkan pengalaman peristiwa Bah Air Merah yang melanda Terengganu pada tahun 1926, generasi selepas itu sentiasa membuat persediaan dan pelbagai persiapan sebaik sahaja berada di penghujung tahun.

Penulis sendiri pernah berhadapan dengan kejadian banjir besar pada 28 Disember 1970, ketika masih kanak-kanak.

Rumah ibu bapa penulis yang terletak di tepi sawah di Kampung Ru Muda, Marang dinaiki air hampir mencecah lantai ekoran hujan lebat secara berterusan selama beberapa hari.

Satu lagi peristiwa banjir besar yang penulis alami ialah pada tahun 1986 ketika penulis di alam remaja dan berada di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Ketika itu penulis aktif dalam pertubuhan Sukarela dengan menjadi ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).

Antara peristiwa yang sukar dilupakan apabila keluarga penulis yang tinggal di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga terpaksa berpindah di sebuah kilang Batu Bata ekoran rumah dinaiki air sewaktu penulis berada di Besut kerana menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir.

Dalam kejadian pada tahun 1986 ini juga, semua jalan utama terputus hubungan termasuk jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dan Kuala Terengganu- Kuantan.

Selain beribu-ribu mangsa terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beberapa kawasan di pusat Bandar Kuala Terengganu seperti Jalan Kamaruddin, Bukit Kecil, Pasir Panjang, Jalan Sultan Omar dan Jalan Durian Burung turut lumpuh akibat ditenggami air.

Pada Isnin lalu penulis sempat bersembang dengan seorang nelayan dari Kampung Pantai Seberang Marang, Abdullah Ismail, mengatakan musim bah (banjir) zaman sekarang agak berbeza berbanding dahulu.

Abdullah memberitahu “dok (tidak) macam dulu doh, dia rasa nak mari (datang), dia mari, dia mari dok kira masa doh.

“Kadang-kadang bulan sebelas, ada bulan dua belas, bulan tiga pun mari jugok..Cuaca panas terik, tiba tiba bulan dua, bulan tiga pun boleh jadi banjir besar,” cerita Abdullah.

Penulis berpendapat, cerita Abdullah ada benarnya kerana sejak tahun tahun kebelakangan ini kejadian banjir yang melanda di negara ini termasuk di Terengganu sudah tidak menentu dan ada ketika sudah ‘terbabas’ musim dan lokasinya.

Kalau dahulu setiap kali tiba musim tengkujuh, iaitu bermula bulan November hingga Februari, semua nelayan tidak akan keluar ke laut untuk menangkap ikan.

Sepanjang tempoh berkenaan, kebanyakan mereka akan berehat panjang dengan berkurung dalam rumah atau bersembang di wakaf atau warung-warung kopi.

Mereka akan kembali ke laut dan mula ‘buka kuala’ selepas masyarakat Cina meraikan sambutan ‘Chap Goh Meh’.

Keadaan angin Monsun Timur Laut ketika dahulu sangat kencang diikuti gelombang dan ombak besar dikatakan hampir setinggi pokok kelapa.

Ia berterusan antara dua hingga tiga bulan menyebabkan setiap rumah ditepi pantai terpaksa membina pengadang angin yang diperbuat daripada daun kelapa.

Sepanjang musim sengsara ini hujan lebat akan turun secara berterusan siang dan malam selama beberapa hari dan adakalanya ia berlarutan sehingga seminggu.

Di sana sini kita akan mendengar berita menerusi corong-corong radio berulangkali menghebahkan penutupan jalan jalan dan jumlah mangsa yang berpindah.

Begitulah gambaran mengenai suasana musim tengkujuh dan banjir ketika dahulu.

Penulis percaya banjir yang berlaku zaman ini bukan disebabkan taburan hujan lebat seperti dahulu, sebaliknya berpunca daripada sikap dan perbuatan manusia sendiri.

Antaranya disebabkan sistem saliran dan pengairan, pencemaran alam sekitar dan pembangunan tidak terancang termasuk membina rumah di kawasan rendah, berpaya dan sawah padi.

Penulis percaya inilah antara punca kejadian banjir yang berlaku di lembah klang ketika ini khususnya di Shah Alam dan Hulu Langat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here