Oleh RIZQI ZABIDI
Empat pegawai kastam dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini setelah didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM22,000, dua tahun lalu.
Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Kamaruzaman Hashim, 41, Mohamad Fadzil Voon Fandi Voon, 34, Saiful Azhar Ismail, 35, dan Muhamad Izrul Ismail, 30, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, kesemua pegawai kastam berkenaan didakwa dengan niat bersama menerima wang sebanyak RM22,000 daripada seorang peniaga kedai runcit berusia 69 tahun yang menyimpan rokok dan mercun belum lulus kastam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Namek Tua, Sik, kira-kira pukul 6.30 petang pada 21 Mei 2019.
Tertuduh pertama, Kamaruzaman selain itu turut disabitkan dengan satu lagi kesalahan kerana menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada menantu warga emas tersebut sebagai ganjaran untuk tidak menangkap atau mengambil tindakan terhadap bapa mentuanya itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.49 petang pada tarikh dan lokasi sama.
Bagi kesalahan tersebut, Hakim turut memerintahkan agar Kamaruzaman dipenjara 24 bulan dan hukumannya akan berjalan serentak dengan pertuduhan pertama.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Khairul Nizam Abu Bakar mengikut Seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 sementara kesemua tertuduh pula diwakili peguam, Rosman Azwan Osman.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan agar hukuman tersebut ditangguhkan, sementara menanti keputusan Mahkamah Tinggi.
Begitu pun mahkamah menetapkan kadar jaminan yang sebelum ini berjumlah RM2,000 pada tempoh perbicaraan, dinaikkan kepada RM12,000 dengan seorang penjamin dan kesemua tertuduh perlu melapor diri di pejabat JKDM terdekat pada minggu pertama setiap bulan hingga kes selesai.
Leave a Reply