ismee ismail 1mdb

1MDB: Ismee bimbang keselamatan diri, keluarga

BEKAS pengarah bukan eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau merasa  resah dan bimbang tentang keselamatan keluarganya apabila dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi kenyataan berkenaan skandal 1MDB.

Ismee, 56, berkata beliau bimbang keselamatan keluarganya dan dirinya sendiri kerana terdapat banyak ketidakpastian yang beliau sendiri tidak dapat merungkaikannya.

“Saya tidak ditekan oleh sesiapa, perasaan yang sukar hendak diterangkan…rasa tidak tentu hala, rasa tidak keruan sebab pada masa itu saya tertanya-tanya apa yang terjadi.

Saya cuba untuk mencari jika ada perkara yang saya tidak melakukannya dengan betul,” katanya semasa pemeriksaan balas peguam Datuk Seri Najib Tun Razak Datuk Hariharan Tara Singh dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu mengenai penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

Apabila ditanya dengan lebih lanjut oleh Hariharan, Ismee berkata SPRM tidak pernah mengancam untuk mengenakan sebarang prosiding jenayah atau sivil ke atas beliau sebagai balasan untuk mendapatkan bukti terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

“Sepanjang tempoh memberikan kenyataan kepada SPRM, saya risau tentang keselamatan (keluarga saya) tetapi mereka (SPRM) menunjukkan kepada saya bahawa saya tidak perlu bimbang tetapi tiada janji tentang tiada saman sivil.

Saya tidak akan berkata saya memberikan bukti yang menunjukkan kesalahan (Najib) tetapi saya memberikan fakta kes. Saya bertanggungjawab untuk memberitahu perkara sebenar semasa siasatan.

Saya memberikan mereka (SPRM) fakta sebenar tetapi jika ia menyalahi undang-undang saya tidak akan menghakiminya,” kata saksi itu. 

Saksi ke-13 pendakwaan itu juga bersetuju dengan cadangan peguam beliau tidak gembira apabila mengetahui mengenai satu saman sivil yang difailkan kerajaan melalui 1MDB ke atasnya dan bekas pengurusan kanan syarikat itu.

Hariharan: Kamu merasa sangat tidak gembira kerana kamu dijanjikan SPRM, jika kamu memberikan bukti terhadap Datuk Seri Najib tidak akan ada saman sivil terhadap kamu.

Ismee: Tiada perjanjian sedemikian.

Hariharan: Adakah kamu merasakan dikhianati apabila kamu mengetahui tentang saman sivil itu?

Ismee: Saya tidak akan mengatakan dikhianati, saya katakan saya sangat sangat sedih. Saya lebih rasa sedih daripada rasa dikhianati .

Bagaimanapun, saman sivil ke atas beliau telah ditarik balik. 

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah bersambung 5 Jan tahun depan. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *