TIADA gangguan atau ‘ribut’ yang melanda pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau menyifatkan kenyataan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) semalam yang menggesa Ismail Sabri diberi ruang untuk mentadbir negara sehingga tamat penggal adalah berlandaskan faktor Ahli Parlimen Bera itu mencapai beberapa kejayaan awal dalam tempoh 100 hari.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menambah, waktunya masih belum sesuai untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sebaliknya beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kepada proses untuk memulihkan ekonomi dan krisis kesihatan.
“Gangguan (untuk jatuhkan kerajaan) tidak ada… tidak ada rebut, cuma kita melihat di waktu ini bukan waktu sesuai untuk bicara soal PRU.
“Rakyat masih perlu pembangunan ekonomi, aspirasi 100 hari (yang) diumum oleh Perdana Menteri (baru sahaja berlalu) dan COVID-19 masih belum selesai.
“(Atas) sebab itu BBC buat keputusan untuk nyatakan dokongan sehingga tamat penggal kepada Perdana Menteri yang ada… saya fikir itu terbaik kerana perlu untuk kita sampai ke tahap itu (mencapai tahap pemulihan) Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Empangan Sabo kepada kontraktor di Titi Hayun, Yan, hari ini.
Semalam, Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia menggesa Ismail Sabri diberi ruang sehingga tamat penggal pada 2023 untuk terus menerajui pentadbiran negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, keperluan itu berlandaskan faktor Ahli Parlimen Bera itu mencapai beberapa kejayaan awal dalam tempoh 100 hari selepas mula memegang jawatan itu pada 21 Ogos tahun ini.
Sementara itu, memetik laporan Bernama, Tuan Ibrahim berkata, pembinaan dua empangan sabo bagi menampan pergerakan kayu dan batuan bersaiz besar semasa aliran air deras di kaki Gunung Jerai di sini, dijangka siap menjelang Jun 2023.
Beliau berkata pembinaan dua empangan sabo di Kawasan Rekreasi Titi Hayun di Yan dan Kawasan Rekreasi Tupah di Kuala Muda itu, melibatkan kos RM22.8 juta.
“Pembinaan empangan itu akan bermula pada pertengahan Januari tahun depan. Empangan sabo ini merupakan yang pertama dibina di Malaysia (mempunyai struktur binaan empangan yang lengkap),” katanya.
Beliau berkata bagi memastikan keselamatan dan kelancaran projek berkenaan, kawasan-kawasan rekreasi terlibat akan terus ditutup sepenuhnya kepada orang awam.
“Projek pembinaan empangan sabo ini akan dijalankan di bahagian atas kawasan rekreasi, jadi tidak sesuailah jika tempat ini dibuka kepada orang ramai,” katanya.
Leave a Reply