Oleh RIZQI ZABIDI

Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan polis kerana disyaki melakukan ugutan selain merosakkan kenderaan milik isterinya termasuk memecahkan cermin kereta itu dalam satu kejadian yang turut tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dari isteri mangsa yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai kerani.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Lorong Panglima, Jalan Teluk Wan Jah di Alor Setar, tidak jauh dari rumah pasangan tersebut.

“Wanita itu terlebih dulu menyedari bahawa kereta dipandunya diekori oleh suaminya yang menunggang motosikal jenis Honda Wave. Suspek kemudian menahan kereta tersebut lalu mengetuk cermin kereta bahagian pemandu depan.

“Suspek berbuat demikian untuk meminta mangsa membuka tingkap dengan alasan mahu memberi wang kepada nak mereka. Apabila mangsa membuka sedikit tingkap kereta itu, suspek tiba-tiba merentap cermin tingkap tersebut hingga menyebabkannya pecah dan tercabut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan lelaki itu yang tular di media sosial mendapat kecaman banyak pihak yang jelas tidak berpuas hati dengan perbuatan tersebut.

Tambahnya, serpihan kaca cermin tingkap itu turut mengenai anak mangsa hingga menyebabkan kanak-kanak itu terkejut.

“Pemeriksaan awal mendapati kawasan kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup namun tindakan lelaki itu berjaya dirakam mangsa menggunakan telefon pintarnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini direman selama empat hari bermula semalam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here