najib mahkamah

Minggu lepas Najib kena marah, hari ini dihalang masuk mahkamah

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau dihalang masuk ke mahkamah hari ini kerana MySejahtera masih berstatus kuning.

Memetik laporan Malaysiakini, beliau membandingkan perkara itu dengan situasi yang dialaminya minggu lepas.

“Minggu lepas saya dimarah sebab saya tidak hadir di mahkamah setelah status MySejahtera saya tukar ke warna kuning.

“Pagi ini saya hadir tetapi saya dihalang masuk mahkamah sebab warna MySejahtera saya masih kuning,” katanya.

Mahkamah Rayuan pada 7 Disember lalu dengan tegas mengingatkan Najib bahawa mahkamah bukan kedai kopi kerana gagal hadir prosiding atas alasan menjadi kontak rapat Covid-19.

Bukan sahaja Najib, malah peguam bela utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan sebahagian besar pasukan peguam tidak hadir hari ini kerana didakwa menjadi kontak rapat dan kontak kasual.

“Ini mahkamah. Ia bukan sekadar ‘air liur’ dan bersembang,” kata Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Najib dan peguam kemudian hadir secara dalam talian semasa pendengaran permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Mahkamah Rayuan kemudiannya mengekalkan sabitan dan denda penjara 12 tahun dan RM210 juta terhadapnya tetapi membenarkan ia ditangguhkan sementara menunggu rayuan di mahkamah lebih tinggi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *