MAHKAMAH Tinggi Kuching menolak permohonan tiga remaja untuk izin membuat semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung hak mereka mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu ini.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew, menolak permohonan oleh Avril Clarice Chin Ning, 18; Ivan Alexander Ong, 19 dan Addam Johanson Jeremy Shayne, 19, untuk memulakan prosiding undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan menggunakan notis daftar pilihan raya yang diwartakan pada suku tahun kedua.
Mahkamah memutuskan tiga remaja itu gagal memenuhi syarat untuk mendapat izin bagi meneruskan semakan kehakiman. Tiada perintah dibuat berkaitan kos.
Menurut pemohon, hak mereka untuk mengundi telah dinafikan apabila kerajaan menggunakan notis daftar pilihan raya berkenaan.
Mereka diwakili peguam Simon Siah dan Clarice Chan, manakala SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad.
Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menetapkan 15 Disember sebagai tarikh penguatkuasaan pindaan terhadap Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang menurunkan had usia mengundi dari 21 kepada 18.
Dengan pindaan berkaitan Undi18 itu berkuat kuasa Rabu, mereka yang telah mencapai usia 18 tahun secara automatik termasuk dalam daftar pilihan raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Ser Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengesahkan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik akan dilaksanakan sebelum 31 Dis, kerana Putrajaya akan terdedah kepada penghinaan mahkamah jika gagal berbuat demikian.
Leave a Reply