Oleh RIZQI ZABIDI
Seorang lelaki ditemukan maut setelah tiba-tiba mengamuk tanpa diketahui puncanya di Taman Dahlia, dekat Sungai Petani, Kedah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan, lelaki berusia 31 tahun itu disahkan meninggal dunia di dalam longkang di belakang rumahnya oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuat pemeriksaan terhadapnya.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.35 malam apabila pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki menyatakan jirannya mengamuk.
“Individu yang mengamuk itu dikatakan meracau seorang diri dan membuat bising di luar rumah. Namun apabila polis tiba di lokasi, mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri dalam longkang di belakang rumahnya.
“Petugas KKM yang datang membuat pemeriksaan selepas itu mengesahkan bahawa lelaki tersebut telah meninggal dunia,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati individu berkenaan yang merupakan seorang penganggur telah empat tahun tinggal berseorangan di rumah tersebut selain dipercayai turut menagih dadah.
“Menurut jirannya, lelaki itu memang kerap mengamuk tanpa diketahui punca hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati dia mempunyai rekod perubatan psikiatri dengan kali terakhir menerima rawatan pada Mac 2016,” katanya.
Tambahnya setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat lelaki itu dtelah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk dibedah siasat.
Leave a Reply