oleh ABU HANIFAH MUHAMAD
SEORANG lelaki sesak nafas dan mengalami serangan jantung ketika mendaki Bukit Mor di Muar petang semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Pegawai Bomba Kanan II Zuraimi Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.05 petang.
Susulan itu katanya, seramai 12 anggota, satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Bermotor Bomba (RIM) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa berusia 52 tahun mengalami sesak nafas dan serangan jantung semasa mendaki Bukit Mor.
“Mangsa menjalankan aktiviti mendaki bersama-sama keluarga berada dalam keadaan sedar tetapi mengalami sesak nafas.
“Mangsa dibawa turun ke kaki bukit dengan menggunakan ‘stretcher’,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau memambah, operasi menyelamatkan mangsa selesai pukul 7.58 malam.
Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya menerima aduan seorang pendaki sesat di Bukit Batu Gajah, Felda Ulu Tebrau, Kulai pada pukul 8.02 malam tadi.
Komander Operasi dari BBP Bandar Baru Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Baharuddin Mohd. Omar berkata, enam anggota dan satu jentera Fire Rescue Tender
(FRT) dari BBP Bandar Baru Kulai dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pencarian bersama-sama 10 anggota Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) dan dua anggota polis di sekitar laluan mendaki di bukit tersebut.
“Mangsa, Tan Aik Xiang, 33, berjaya dijumpai pada jam 9 malam dalam keadaan selamat pada kurang 2 kilometer KM dari pos permulaan bukit tersebut,” katanya.
Leave a Reply