SEORANG wanita warga Indonesia berusia 45 tahun ditemui maut dengan empat kesan kelar di bahagian badan termasuk di bahagian leher di sebuah bilik di unit Apartmen Sri Nipah, Sungai Nibong, Pulau Pinang tengah malam tadi.

Kejadian itu disedari dua lelaki warga Bagladesh yang juga penyewa unit kediaman berkenaan yang menjumpai mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah ketika pulang bekerja kira-kira pukul 11.30 malam sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, selain kesan kelar di leher, mangsa turut dikelar di bahagian perut, dada dan belakang telinga manakala dua bilah pisau dipercayai senjata pembunuhan turut ditemui di lokasi kejadian.

“Selain itu, kita turut menemui kesan ikatan tali pada bahagian pergelangan tangan dan kaki mangsa.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa mungkin diikat terlebih dahulu sebelum dibunuh, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Menurut beliau, seorang lagi penyewa lelaki warga Bangladesh berusia 37 tahun yang disyaki suspek utama kes itu didapati telah melarikan diri dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.

Tambahnya, berdasarkan soal siasat dengan dua penyewa lelaki di rumah itu, mereka memaklumkan terdengar pertengkaran di dalam bilik di antara mangsa dan suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu pukul 7.30 pagi semalam.

Sehubungan itu tambahnya, dua penyewa rumah berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan dan butir-butir peribadi suspek telah diperoleh.

“Polis turut menjumpai beberapa dokumen seperti pasport dipercayai milik mangsa, namun identiti wanita berkenaan akan disahkan selepas proses bedah siasat dilakukan,” katanya.

Jelas beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here