SEORANG lelaki warga tempatan dihukum penjara sembilan tahun dan enam kali sebatan di Mahkamah Perantaraan di Bandar Seri Begawan, Brunei, hari ini akibat membakar masjid.
Mohd. Erwan Manggis, 38, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Hazarena Hurairah sebelum hukuman tersebut dijatuhkan.
Bagaimanapun, pihak mahkamah memerintahkan hukuman penjara defendan berjalan bermula tarikh defendan ditahan reman pada 31 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, pada 4 April 2017, tertuduh bersama seorang rakan berjalan kaki dari rumah rakannya itu di Kampung Mentiri menuju Masjid RPN Kampung Mentiri pada pukul 2 pagi.
Mereka memasuki pekarangan melalui pagar tidak berkunci dan masuk ke dalam masjid melalui pintu yang juga tidak berkunci.
Defendan kemudian menggunakan penggantung baju dan menjadikannya sebagai alat untuk mengambil wang dari kotak derma, dengan defendan dan rakannya bergilir-gilir cuba mengambil wang tunai tetapi tidak berjaya.
Defendan kemudian menyedari terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dan bimbang perbuatan mereka akan diketahui, mendorongnya bertindak memusnahkan sebarang bukti dengan membakar masjid berkenaan.
Defendan kemudian pergi ke hadapan masjid dan membakar kekisi plastik pendingin hawa menggunakan pemetik api yang dibawanya.
Defendan serta rakannya berlari keluar dan tidak lama kemudian, mereka terdengar bunyi letupan kuat dan melihat kebakaran besar berlaku di kubah masjid.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dimaklumkan oleh seorang penduduk di kawasan itu dan berjaya mengawal kebakaran, bagaimanapun kebanyakan bahagian bangunan masjid rosak.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Mu’izzah Sabli, memohon hukuman setimpal untuk memberikan pengajaran kepada tertuduh, yang juga penagih dadah.
Defendan merayu untuk diringankan hukuman dan meminta supaya tidak disebat, namun hakim mengambil kira betapa seriusnya kesalahan dan bertindak menjatuhkan hukuman yang setimpal.
Hakim juga mengambil kira bahawa defendan menyebabkan masjid rosak teruk sehingga menyusahkan penduduk setempat yang terpaksa mengerjakan sembahyang di balai raya yang hanya boleh menempatkan 500 orang pada suatu masa.
Mahkamah turut mengambil kira senarai panjang sabitan kesalahan defendan sejak 2000, dengan yang terbaru dilakukan pada 2019. – AGENSI
Leave a Reply