Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa terima kasih kepada Singapura atas segala bantuan yang dihulurkan ketika tempoh pandemik Covid-19 di negeri itu.
Perkara tersebut disuarakan baginda yang berkenan menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan di Johor Bahru hari ini.
Menerusi pertemuan itu, Balakrishnan menyampaikan surat daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang mempersilakan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membuat lawatan rasmi ke negara itu.
“Saya gembira dapat berjumpa dengan Balakrishnan setelah sekian lama, akibat pandemik ini. Johor amat berterima kasih kepada Singapura atas segala bantuan yang dihulurkan ketika tempoh ini.
“Apa-apa yang berlaku kepada kita memberi kesan kepada Singapura, begitu juga sebaliknya. Justeru, adalah amat penting untuk hubungan baik antara kita sentiasa dijaga dan dipelihara,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO) selepas pertemuan itu.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.
Untuk rekod, Singapura menyumbang 100,640 dos vaksin Pfizer kepada kerajaan negeri Johor.
Sebelum ini, pemerintah Singapura telah menyumbang sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai lalu.
Selain itu, pada 28 Jun lalu, Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbangkan sebanyak
500,000 pelitup muka dan 1,050 perkakas ventilator Non Invasive (BIPAP) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).
Leave a Reply