KERAJAAN Kelantan mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada penjawat awam negeri itu manakala RM500 bagi kakitangan lantikan politik sebagai menghargai jasa dan komitmen mereka.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata bagi lantikan politik, bantuan khas tersebut termasuk kepada penghulu dan kakitangan Bahagian Dakwah Halaqat.
“Guru al-Quran dan fardu ain di bawah Bahagian Halaqat pula menerima RM250,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Ahmad berkata bagi memacu pertumbuhan ekonomi, kerajaan Kelantan memperuntukkan RM68.65 juta untuk pelaksanaan beberapa projek mega.
Beliau berkata antara projek tersebut ialah Madinah As-Salam di Pasir Tumboh melibatkan kos sebanyak RM50.45 juta, Madinah Ramadhan di Tunjong (RM15 juta) dan Infrastruktur Bandar Perabot di Gua Musang (RM3.2 juta) manakala RM8.2 juta diperuntukkan untuk projek kecil dan sederhana.
“Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.5 juta untuk Program Khas Pembangunan Ekonomi dan Pembangunan Ekonomi Jajahan dan RM3.7 juta diperuntukkan untuk Program Usahawan Berdikari termasuk program Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan (MPUK),” katanya.
Sementara itu, Ahmad membentangkan Belanjawan 2022 bertemakan “Kelantan Maju Rakyat Sejahtera” dengan unjuran defisit lebih tinggi iaitu RM90.49 juta.
Beliau berkata, jumlah defisit tersebut meningkat sebanyak RM24.47 juta berbanding Belanjawan 2021 sebanyak RM66.02 juta.
“Walaupun setiap tahun anggaran belanjawan negeri mencatat defisit, namun untuk empat tahun berturut-turut, kerajaan negeri telah mencatatkan perbelanjaan sebenar yang surplus (lebihan).
“Pada 2017, surplus sebanyak RM38.82 juta, 2018 surplus RM40.46 juta, 2019 surplus RM445.69 juta dan pada 2020 surplus sebanyak RM45.44 juta,” katanya.
Ahmad berkata Belanjawan 2022 memperuntukkan sejumlah RM1.51 bilion sebagai perancangan berbelanja secara berhemat yang melibatkan enam teras iaitu Transformasi Kewangan, Memacu Ekonomi, Pendidikan dan Agama, Kesejahteraan Rakyat, Perlindungan Sosial dan Kebajikan.
Beliau berkata anggaran hasil negeri pada tahun hadapan itu dijangka sebanyak RM991.74 juta manakala anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1.08 bilion berbanding RM1.09 bilion pada 2021.
“Peruntukan pembangunan bagi 2022 berjumlah RM428.3 juta yang dibiayai di bawah peruntukan negeri dan sumber pinjaman,” katanya.
Ahmad berkata hasil terimaan daripada agensi kerajaan menjadi penyumbang terbesar berjumlah RM339.65 juta (34.25 peratus) daripada keseluruhan jumlah manakala hasil tanah menjadi penyumbang kedua terbesar dengan RM317.59 juta (32.02 peratus).
“Terimaan lain-lain menjadi penyumbang ketiga terbesar dengan jumlah RM181.62 juta (18.31 peratus) dan hasil hutan menjadi penyumbang keempat terbesar dengan sumbangan sebanyak RM97 juta (9.78 peratus) daripada keseluruhan jumlah hasil,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Kelantan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.7 peratus, melepasi paras nasional sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
Persidangan DUN bersambung Ahad ini.
Leave a Reply