DAKWAAN seorang individu bahawa adiknya yang dipukul dan dibuli di berek bujang di sebuah kem tentera mendapat perhatian Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Melalui tangkap layar yang dikongsi dalam Twitter ‘Pedoq, what is this behavior?’ individu terbabit mendakwa insiden itu berlaku setiap hari dan wang gaji adiknya habis kerana diberikan kepada anggota-anggota tentera yang lebih senior.
Menurutnya, adiknya perlu membeli barang keperluan untuk 12 hingga 14 anggota tentera yang lain di berek bujang tersebut.
Namun, dia mendakwa, adiknya takut untuk membuat laporan manakala kes-kes serupa yang dilaporkan kepada pihak atasan sebelum ini hanya dikenakan hukuman kawad selama 45 minit.
Selain itu, adiknya bimbang akan berdepan tindak balas daripada anggota-anggota tentera yang lebih senior yang tinggal bersamanya di berek bujang berkenaan.
Sehubungan itu, pengadu yang meminta identitinya dirahsiakan meminta pemilik akaun Twitter tersebut membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi adiknya.
Walau bagaimanapun, lokasi kem tentera terbabit tidak dinyatakan.
Sementara itu, Hishamuddin melalui laman Facebook miliknya meminta individu berkenaan supaya menghubungi beliau atau pejabatnya untuk memberi maklumat lanjut.
“Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan,” katanya.
Beliau menambah, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz juga telah diarah untuk menelitti perkara itu secara peribadi.
“Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.
Leave a Reply