Oleh RIZQI ZABIDI
EMPAT kakitangan tetap Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini bagi berdepan pertuduhan membuat tuntutan palsu elaun penugasan rondaan keselamatan berjumlah RM59,520, dua tahun lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Mohd. Khairul Anuar Maliki, 32; Idrus Zakaria, 47; Siti Munirah Abdul Rahim, 35; dan Sahrol Miza Samad, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh secara bersama telah menggunakan dokumen tuntutan dengan niat hendak memperdaya prinsipal mereka iaitu RELA negeri Kedah.
Dokumen tersebut didakwa mengandungi butiran matan palsu berkenaan bayaran berjumlah RM59,520 berkaitan perakuan tertuduh, kononnya terdapat anggota RELA menjalankan penugasan rondaan keselamatan sempena Bulan Kemerdekaan 2019 Daerah Kulim.

Penugasan itu bagaimanapun didakwa tidak dilaksanakan seperti dinyatakan dalam tuntutan tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 September 2019 di Pejabat RELA negeri Kedah, Aras 4, Fasa 2B, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Bandar Muadzam Shah, dekat Alor Setar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 27 Disember depan.
Leave a Reply