MENYEDARI sukan di peringkat akar umbi di Malaysia kurang menarik perhatian ramai, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif mewujudkan saluran sukan baharu, ‘mySukan TV’ yang bakal menyiarkan pelbagai kejohanan sukan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, saluran sukan yang dikendalikan konglomerat sosial KBS, ‘Impact Integrated’ itu merupakan usaha untuk meluaskan skop program pembangunan sukan akar umbi dari peringkat sekolah sehingga antarabangsa dan menjadikannya lebih mudah diakses masyarakat.

“Program utama di mySukan TV merangkumi siaran secara langsung perlawanan atau kejohanan sukan akar umbi di Malaysia bagi peringkat sekolah rendah sehingga peringkat antarabangsa, program-program perkongsian maklumat dan tip (panduan) sukan harian, penerbitan berita serta program bual bicara bersama atlet, jurulatih dan agensi sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal pada masa sama turut mengalu-alukan kerjasama strategik daripada sektor swasta bukan sahaja sebagai penaja program sukan akar umbi, malah berkongsi ilmu dan menyokong inisiatif mySukan TV.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Impact, Integrated Ahmed Faris Amir berkata antara fokus utama lain saluran itu adalah memberi pendedahan dan peluang kepada penggiat sukan untuk menjana pendapatan melalui penyiaran acara dan perlawanan sukan secara langsung di laman web mySukan TV atau media sosial.

Ahmed Faris berharap mySukan TV dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menyokong gerakan sukan baharu itu sambil menggalakkan mereka menjalani gaya hidup yang lebih aktif dan sihat.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti mySukan TV boleh melayari laman web www.mysukan.tv atau platform media sosial, Facebook dan Instagram @mysukan.tv, Twitter @MySukan_TV dan YouTube @mySukan TV. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here