EKORAN penerbitan artikel Louise Story di New York Times mengenai ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, serta tabiat perbelanjaan Datin Seri Rosmah Mansor di New York, Pejabat Perdana Menteri (PMO) akhirnya menerangkan bahawa ia bukan wang kerajaan.

Memetik laporan Astro AWANI, Datuk Seri Nazir Tun Razak dalam memoirnya ‘What’s in a Name’ berkata, PMO cuba menerangkan bahawa wang yang dibelanjakan secara boros itu datang dari legasi peninggalan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Bekas Pengerusi Kumpulan CIMB itu menambah, kenyataan tersebut bukan sahaja seolah- olah menafikan etika dan integriti ayahnya, malah cuba membayangkan Abdul Razak mempunyai pendapatan sampingan.

“Saya terus menghubungi tiga abang saya – Nazim, Johari dan Nizam. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk kami bersama-sama membuat kenyataan terbuka dan saya terus menghantar kenyataan itu kepada rakan media dan pengulas yang saya kenal melalui WhatsApp.

“Kami sangat prihatin dengan reputasi ayahanda kami dan kami jelaskan Tun Abdul Razak tidak pernah mewariskan ‘aset legasi’ (seperti yang dinyatakan PMO). Kami rumuskan, kami tidak boleh terima pihak yang cuba mencemarkan memori ayahanda kami, walau apa jua motif,” kata Nazir dalam tulisan itu.

Sejurus kenyataan empat beradik itu disiarkan, Nazir berkata, beliau menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali.

Namun Nizam, Nazim dan Johari lebih bijak kerana kata Nazir: “Mereka telah menutup telefon lebih awal lagi.”

“Saya menjawab panggilan itu dan serta-merta mendengar kemarahan serta hamunan daripada Najib yang berkata: “Mengapa kamu semua tergamak memalukan saya di khalayak ramai!”

Nazir berkata, bagi Najib, kesetiaan individu paling penting, manakala kesetiaan kaum ialah menolak perkara lain demi kepentingan ketua mereka.

Namun bagi Nazir, apa yang mereka cuba lakukan adalah demi melindungi legasi dan nama baik keluarga mereka dan tidak akan sesekali membiarkan mana-mana pihak cuba mencemar nama ayahanda dan negarawan, Abdul Razak.

“Susulan itu, PMO telah menghalang kenyataan kami daripada diterbitkan oleh mana-mana media arus perdana untuk beberapa hari. Bagaimanapun, media asing dan blog-blog tidak terikat dan tidak mempedulikan larangan itu.

“Ia agak mengecewakan bahawa seorang anak akan menapis kenyataan adik-beradiknya yang sebenarnya memuji integriti ayahnanda mereka.

“Malah sewaktu kenyataan itu diterbitkan, terdapat juga frasa bagaimana Najib memuji Abdul Razak. Saya sangka, orang yang membacanya akan terkeliru,” katanya.

Episod itu, kata Nazir lagi, membuatkan beliau lebih mempercayai kerisauannya terhadap 1MDB adalah berasas – kombinasi kewangan dan politik, kombinasi golongan profesional dan perseorangan.

“1MDB telah melanggar norma kewangan yang telah dibangunkan sekian lama di negara ini, termasuk apa yang dilakukan CIMB.

“Dana itu sepatutnya merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi ia telah dikecualikan dari peraturan ketat yang kami bangunkan dan boleh mencemarkan imej GLC secara keseluruhan.

“Saya risau dan syak abang saya, Najib, telah dikawal oleh penasihat dan rakan kongsi yang tidak bertanggungjawab dan akhirnya mencemarkan nama baik ayahanda saya,” katanya lagi.

Ini merupakan antara siri pendedahan bekas Nazir yang juga tokoh perbankan berkenaan skandal kewangan, 1MDB dalam memoirnya bertajuk – What’s in a Name’ yang dilancarkan 8 November lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here