“LIHATLAH apa yang terjadi apabila kerajaan dibentuk hasil majoriti tipis. Bentuklah kerajaan yang kukuh melalui majoriti besar,” kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Bagi Wan Saiful, jika menang dengan majoriti tipis, banyak masalah akan berlaku dan sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di Melaka membuat keputusan yang bijak memilih kerajaan negeri.
“Akibat daripada situasi sebegitu, majoriti sangat tipis (sehingga) berlaku PRN (Pilihan Raya Negeri).
“Kita harap rakyat ambil iktibar daripada apa yang berlaku sebelum ini dan pilih Perikatan Nasional (PN) supaya boleh bentuk sebuah kerajaan yang kuat dari segi majoriti,” katanya.
Beliau ditanya kemungkinan PN akan bekerjasama dengan pakatan lain untuk membentuk kerajaan negeri, jika gagal meraih majoriti besar dalam PRN Melaka yang dijadualkan 20 November ini.
Tegas Wan Saiful, fokus utama PN ketika ini ialah memenangi kerusi DUN sebanyak mungkin di dalam PRN Melaka.
“Pertama sekali saya harap rakyat beri undi sepenuhnya kepada Perikatan Nasional. Sebabnya kita perlukan kestabilan dalam kerajaan. Lihat apa yang berlaku (dahulu) apabila bilangan majoriti tidak dijaga.
“Kita harap rakyat ambil iktibar daripada apa yang berlaku sebelum ini dan pilih Perikatan Nasional supaya boleh bentuk sebuah kerajaan yang kuat dari segi majoriti,” katanya lagi.
Wan Saiful berkata, sekiranya jumlah kerusi yang dimenangi tidak mencapai sasaran, barulah mereka akan membincangkan langkah seterusnya.
Mengulas lanjut, katanya PRN Melaka berlaku susulan pertelingkahan antara pihak yang sama sekali gus mengheret rakyat di negeri itu dalam kesusahan dan penderitaan,
Berikutan PRN Melaka juga, katanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada jalan lain selain daripada mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang sedikit sebanyak membebankan rakyat di negeri ini.
Natijah daripada pertelingkahan sesama sendiri juga, Wan Saiful berkata, rakyat Melaka berhak mendapat kestabilan dan mengharapkan mereka dapat menzahirkan sokongan besar kepada PN untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
“Kita faham sebab sebenarnya SOP untuk memastikan rakyat terlindung daripada pandemik COVID-19. Pilihan raya ini bukan kita hendak, ini berlaku apabila ada pihak bergaduh sama sendiri dalam kerajaan negeri.
“Pertelingkahan mereka menyebabkan kita semua terpaksa menanggung kesan dan terpaksa diadakan pilihan raya negeri. Bukan kita (PN)… yang sebabkan kesukaran dan cabaran dalam negeri ini, ada pihak lain,” katanya, memetik laporan Astro AWANI.
Wan Saiful dipercayai merujuk kepada tindakan empat orang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua daripada UMNO Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan yang menarik sokongan terhadap Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sehingga mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Leave a Reply