KEMENTERIAN Pendidikan digesa supaya meneliti segera punca utama guru-guru enggan menerima vaksin Covid-19 dan mengenal pasti langkah penyelesaiannya bagi memastikan pembukaan semula sekolah dapat dijalankan dengan lancar dan selamat.
Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, kementerian itu harus mengambil langkah yang sesuai untuk memahami sebab utama kenapa golongan guru menjadi anti vaksin.
Tambahnya yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, penjelasan kepada mereka tentang kepentingan penerimaan suntikan vaksin perlu dilaksanakan supaya dapat mengubah pandangan mereka agar menerima vaksin demi keselamatan pelajar dan seluruh warga sekolah.
“Kita banyak menerima aduan daripada ibu bapa yang melahirkan kebimbangan berhubung keengganan guru menerima vaksin tersebut.
“Golongan ibu bapa turut melahirkan rasa kecewa dengan kementerian itu yang disifatkan gagal menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, tindakan keras terhadap guru yang enggan menerima suntikan vaksin juga bukan satu cara penyelesaian yang baik dan bernas.
Tambahnya, apa yang mengecewakan adalah isu itu telah lama wujud namun sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan dan mungkin akan berlanjutan sehingga hari pembukaan semula sekolah.
Menurutnya, walaupun Kementerian Pendidikan tidak membenarkan guru yang belum melengkapkan vaksin mengajar secara bersemuka di sekolah, namun golongan ibu bapa dan murid tidak dapat memastikan perkara tersebut.
Malah lebih membimbangkan ujarnya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman sebelum ini juga mengakui antara penjawat awam yang paling ramai tidak menerima suntikan vaksin adalah di Kementerian Pendidikan.
“Jadi bagaimanakah pihak berkuasa dapat memastikan keselamatan setiap sekolah di seluruh negara,” katanya.