TEMPOH bagi pelajar dan murid ‘bermain’ dan ‘berkurung’ di rumah akan berakhir pada 7 November ini.
Selepas berehat panjang ekoran pelaksanaan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi membendung penularan wabak Covid-19, mereka akan kembali semula ke sekolah secara bersemuka pada 8 November depan.
Rata-rata pelajar dan murid seperti tidak sabar lagi untuk kembali ke sekolah belajar serta bertemu guru dan kawan-kawan yang sudah lama tidak berjumpa.
Di Terengganu, seramai 145,976 pelajar dilaporkan akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut.
Ia berikutan pengumuman kerajaan mengenai peralihan negeri ini ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Isnin lalu. Daripada jumlah tersebut, seramai 66,202 murid adalah melibatkan sekolah rendah Tahun Satu, Dua dan Tiga. Manakala 35,450 pula merupakan pelajar Sekolah Menengah melibatkan Tingkatan Tiga dan Empat.
Apa yang boleh diperkatakan mengenai sektor pendidikan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ialah perubahan dari segi suasana gaya hidup baharu dihadapi bukan sahaja para pelajar dan murid, tetapi juga guru dan juga kaum ibu
Malah, akibat terlalu lama tidak ke sekolah dan hanya belajar secara dalam talian menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadikan minat dan semangat sebahagian pelajar dan murid seakan terencat untuk kembali semula ke sekolah.
Selain itu, ada juga golongan ini semacam lebih seronok untuk terus berada di rumah, belajar sambil bermain gajet dan menonton televisyen dalam suasana gaya hidup baharu?
Bagi murid sekolah rendah pula, ada di antara mereka semakin seronok dengan PdPR berbanding secara bersemuka kerana dikatakan lebih bebas disamping kebergantungan penuh kepada ibu yang bertindak sebagai ‘guru’ sewaktu di rumah.
Kesungguhan kaum ibu yang menjadi guru menyebabkan ada di antaranya seperti tidak mahu melepaskan anak mereka kembali ke sekolah, bukan kerana khuatir soal keselamatan, sebaliknya kerana semakin seronok dengan gaya hidup baharu.
Bagaimanapun, bagi ibu yang terikat dengan pekerjaan di pejabat, pembukaan sekolah secara bersemuka dianggap sebagai terlerai satu bebanan amat berat yang terpaksa dipikul kebelakangan ini.
Soal pembelajaran, makanan dan keselamatan anak-anak kini tidak lagi menjadi kerisauan apabila mereka berada di sekolah.
Manakala bagi golongan guru pula, pembukaan sekolah secara bersemuka sudah tentu diiringi pelbagai cabaran baharu dalam usaha memberi ilmu pendidikan kepada pelajar dan murid, khususnya melibatkan mata pelajaran yang tertinggal.
Ini kerana, sejak PKP dilaksanakan di seluruh negara, anak-anak tidak lagi belajar di sekolah, sebaliknya terpaksa mengikuti kelas PdPR yang ada ketikanya terbantut dengan pelbagai masalah sampingan seperti talian internet dan ada pelajar dan murid yang ponteng kelas secara dalam talian.
Pada masa sama, guru-guru juga terpaksa memainkan peranan penting untuk memastikan tahap keselamatan pelajar dan murid mereka sepanjang berada di sekolah sentiasa terkawal dengan mengetatkan pematuhan operasi standard (SOP) diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Leave a Reply