TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini meneruskan sentuhan mesra ‘Abah’ dengan menyantuni para pengunjung Gerai Prihatin Rakyat di Felda Tun Ghafar Hutan Percha dan Taman Bandar Baru Simpang Empat, Alor Gajah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu secara santai turut bersama-sama membantu para petugas untuk menjual barang-barang makanan keperluan pada harga yang amat berpatutan.

Di kedua-dua lokasi itu, beliau juga ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Bagi seorang pengunjung Gerai Prihatin Rakyat, Amran Lip, 39, dia benar-benar terkejut apabila mendapati dirinya telah disapa oleh Tan Sri Muhyiddin semasa tiba ke gerai pandu lalu barangan keperluan berkenaan.

“Saya pada mulanya tidak perasan tapi semasa Abah (Tan Sri Muhyiddin) memberi salam, saya benar-benar terkejut.

“Memang saya teruja sebab selama ini kita hanya dapat melihat Abah di televisyen semasa tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu, tidak sangka dapat berjumpa di depan mata,” katanya.

PRN Melaka
AMRAN LIP

Sementara itu, suri rumah, Ruziah Abd. Latif, tidak pernah terdetik baginya rezeki untuk dapat menemui sendiri Muhyiddin.

“Alhamdulillah, saya syukur dapat bertemu dengan Abah, selama ini pun banyak bantuan yang kita dapat adalah atas jasa Abah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Mohd. Zabidi Zakaria, 43, tidak menjangkakan kenderaan-kenderaan yang berpusu-pusu di Gerai Prihatin Rakyat telah membawanya dapat bertemu Tan Sri Muhyiddin.

“Kalau boleh bersalaman, sudah lama saya nak bersalam dengan Abah tetapi dapat berjumpa sudah cukup membuat saya gembira,” katanya.

PRN Melaka
MOHD ZAKARIA ZABIDI

Program Gerai Prihatin Rakyat yang telah dimulakan sejak bulan Jun lalu merupakan satu inisiatif mengurangkan beban rakyat dengan menawarkan jualan harga barangan makanan keperluan pada harga yang amat berpatutan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here