Tag: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein

  • Hospital Medan ATM di Johor Bahru kekal beroperasi

    Hospital Medan ATM di Johor Bahru kekal beroperasi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pertahanan mengekalkan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kerana mengambil kira kedudukannya yang berhampiran sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura.

    Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, itu sebagai langkah persediaan berhubungan pergerakan dua hala di kawasan sempadan.

    “Saya minta mereka bertahan lagi kerana banyak perkara yang kita nak fikirkan termasuklah perjalanan rakyat Johor dan Singapura.

    “Jadi kalau kita tutup Hosptial Medan ATM di Johor Bahru, kalau sesuatu berlaku dalam landskap hubungan dua hala dengan Singapura, saya bimbang akan jadi satu hal jika hendak mulakan balik, nak bina semula jadi saya minta mereka kekalkan dahulu di Johor,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan Lawatan Kerja ke Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, Kluang, hari ini.

    Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd. Zain.

    Sehingga hari ini, hanya tiga daripada sembilan Hospital Medan ATM masih beroperasi iaitu Hospital Medan ATM HSA di Johor Bahru, Hospital Medan ATM di Kepala Batas dan Hospital Medan ATM di Hospital Pulau Pinang.

    Mengenai pengoperasian dua Hospital Medan ATM di Pulau Pinang pula, Hishammuddin berkata, itu bergantung keputusan kerajaan negeri.

    “Dua Hospital Medan ATM di Pulau Pinang, saya lihat keadaan sudah agak reda jadi keputusan sama ada henti operasi atau tidak bergantung kepada mereka dengan melihat keadaan semasa,” ujarnya.

    Sementara itu, mengulas berhubung peralihan Malaysia untuk memasuki fasa endemik wabak Covid-19, Hishammuddin berkata perkara itu akan ditentukan selepas menilai kesan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi ketika ini.

    “Keputusan untuk peralihan fasa akan dibuat selepas membuat penilaian terhadap pelbagai kelonggaran diberi antaranya rentas negeri, rentas sempadan dan juga pembukaan sekolah dan institusi pengajian tinggi.

    “Jadi ketika ini, fasa Pelan Pemulihan Negara berjalan seperti biasa dimana ketika ini kita sedang memberi fokus kepada suntikan penggalak,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Hishammuddin turut memaklumkan kadar vaksinasi suntikan Covid-19 dalam kalangan warga ATM telah mencapai tahap 100 peratus dan pihaknya ketika ini sedang melihat pelaksanaan suntikan penggalak mengikut kepada keperluan dan bekalan.

  • Kementerian Pertahanan tumpu kebajikan warga ATM-Hishammuddin

    Kementerian Pertahanan tumpu kebajikan warga ATM-Hishammuddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pertahanan akan mengutamakan aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaras dengan peruntukan yang diumumkan pada Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen semalam.

    Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, daripada peruntukan yang diterima, RM388 juta dikhususkan untuk membina baharu dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sedia ada di seluruh negara.

    Jelasnya, ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan menyediakan kediaman lebih selesa kepada anggota, veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan selain menambah baik infrastruktur sekolah dalam kem ATM.

    “Anggota kita merupakan petugas barisan hadapan dan kita perlu pastikan moral mereka di tahap tinggi.

    “Saya telah nyatakan kalau ada kekangan atau keperluan, mereka boleh hubungi Pejabat Menteri Pertahanan secara langsung,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan Lawatan Kerja ke Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, Kluang, hari ini.

    Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd. Zain.

    Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Kementerian Pertahanan akan diperuntukan dana berjumlah RM16 bilion dalam pembentangan Bajet 2022.

    Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sebanyak RM11.10 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan pengurusan manakala RM5.04 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

    “Bagi agenda kesiagaan, RM4.5 bilion akan dikhususkan untuk perbelanjaan berkaitan aset bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. Selain perolehan aset baharu, ia akan turut melibatkan penyelenggaraan aset-aset sedia ada.

    “Sejumlah RM40.7 juta juga akan diperuntuk untuk pembangunan penyelidikan sains dan teknologi pertahanan yang akan dilaksanakan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride),” ujarnya.

    Hishammuddin menambah, peruntukan diterima kementerian menerusi Bajet 2022 adalah yang tertinggi sejak Rancangan Malaysia Ke-9 membuktikan kerajaan komited memantapkan sektor pertahanan dan keselamatan negara.