BIMP-EAGA sempadan Ismail Sabri Yaakob

Negara BIMP-EAGA perlu segera buka sempadan

NEGARA anggota Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) harus meneroka segala peluang untuk memulihkan kembali nilai rantaian rentas sempadan, kebanyakannya terputus sejak penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Ke-14 pada Khamis berkata, Malaysia sudah berusaha melaksanakannya kerana menganggap BIMP-EAGA sebagai platform penting bagi membolehkan pembangunan serantau yang lebih seimbang dan inklusif.

“Bagi mencerminkan komitmen ini, kerjasama sub-serantau di bawah BIMP-EAGA diarus perdanakan serta diutamakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya.

Sejajar dengan pelan berkenaan, Ismail Sabri berkata, kerjasama di bawah BIMP-EAGA akan menyasarkan peningkatan aktiviti rentas sempadan dan mengukuhkan nilai rangkaian.

Kerjasama ini akan turut memfokuskan pewujudan pekan dan bandar yang selesa, menaik taraf prasarana akses serta rangkaian dan meningkatkan kerjasama serta penyelarasan antara pemegang taruh.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kerajaan Persekutuan Malaysia akan terus mempercepat pembangunan di Labuan, Sabah dan Sarawak.

“Pelbagai langkah akan terus diambil bagi menaik taraf prasarana akses dan ketersambungan dengan mempercepat pelaksanaan Projek Prasarana Utama di BIMP-EAGA.

“Ini termasuk Lebuhraya Pan Borneo, pekan di sempadan, kemudahan kastam, imigresen, kuarantin serta keselamatan,” katanya.

Dalam usaha untuk BIMP-EAGA pemulihan selepas pandemik yang berdaya tahan dan mampan, Ismail Sabri menegaskan bahawa negara peserta mesti menetapkan strategi baharu dan berani, menerusi pendekatan menyeluruh di negara masing-masing sambil mengekalkan kerjasama serantau.

Merujuk aspek pelancongan sebagai contoh, beliau berkata, dalam memulihkan industri yang teruk terjejas itu, negara anggota seharusnya meneroka kemungkinan menggunakan pendekatan standard yang membolehkan individu sudah divaksin bergerak bebas dan selamat di sempadan dengan tempoh kuarantin minima atau berdepan proses kelulusan rumit.

“Sebagai permulaan, ini boleh dilaksanakan di lokasi perintis terpilih,” katanya.

Mengenai inisiatif hijau, Ismail Sabri berkata, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Local Governments for Sustainability (ICLEI) dalam membangunkan Pelan Tindakan Bandar Hijau (GCAPs).

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan membangunkan sekurang-kurangnya dua GCAPs di bawah RMK12 untuk bandar anggota BIMP-EAGA Malaysia sebagai sumbangan ke arah mempercepat pelaksanaan inisiatif bandar hijau kawasan pertumbuhan itu, sejajar dengan komitmen Malaysia menjadi bandar neutral karbon secepat-cepatnya menjelang 2050.

Mengenai BIMP-EAGA dan Tabung Kerjasama Korea Selatan (BKCF), Ismail Sabri berkata, beliau yakin ia akan memberi sumbangan bermakna dengan meningkatkan kerjasama dalam ketersambungan maritim; dagangan dan pelaburan; pelancongan; pembangunan sumber manusia; dan keselamatan maritim serta alam sekitar.

Bagi meningkatkan lagi kerjasama BIMP-EAGA dengan Korea Selatan, beliau turut berharap Kerangka Kerja Kerjasama BIMP-EAGA-Korea Selatan dan Pelan Tindakannya, akan segera dapat dimuktamadkan.

Dipengerusikan oleh Indonesia, BIMP-EAGA dihadiri negara anggota serta ADB dan Pusat Fasilitasi BIMP-EAGA. Ia diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-38 dan Ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula pada Selasa, dipengerusikan Brunei. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *