Oleh RAHIMI MOHAMAD
DUA pertuduhan menyamar dengan gelaran Datuk Seri Panglima dan satu pertuduhan menipu dikenakan terhadap seorang lelaki di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas perbuatannya pada tahun lalu dan Januari tahun ini.
Tertuduh, Feroz Musa, 47, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas tiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Majistret Zuhainie Zull Kafli.
Ketika di Mahkamah Sesyen, lelaki yang bekerja sendiri itu berdepan dua pertuduhan mengakui diri sebagai pemegang sah anugerah Datuk Seri Panglima masing-masing pada pukul 3.12 petang, 23 Jun 2020 di Larkin Perdana dan pada pukul 3.20 pagi, 8 Januari lalu di Jalan Padi Ria 2, Bandar Baru Uda.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Fasal 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tiga atau kedua-duanya.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Feroz didakwa menggunakan gelaran berkenaan untuk memperdaya seorang wanita berusia 45 tahun sehingga memasukkan RM11,600 ke dalam akaun tertuduh antara 24 Disember 2020 hingga 5 Januari tahun ini di Maybank Bandar Baru Uda.
Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad dan Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq.
Tertuduh yang pernah berkhidmat sebagai Pengaturcara Sistem Pertahanan Udara itu ketika merayu pengurangan jumlah jaminan memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menanggung ibu bapa dan tiga anak.
Feroz juga mendakwa dia merupakan individu yang mempunyai penyakit kecelaruan personaliti.
“Saya mempunyai ‘split personality disorder’ yang disahkan Bahagian Perubatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Saya terkena radiasi daripada radar ketika bertugas. Perkara lain adalah rahsia kerajaan yang saya tidak boleh dedahkan,” katanya.
Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan di Mahkamah Sesyen, manakala Zuhainie menetapkan jaminan RM3,000 bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret.
Kedua-dua mahkamah itu turut menetapkan tarikh 14 November ini untuk sebutan semula kes.
Leave a Reply