dadah ahmad saiful islam mat sabu

Anak Mat Sabu bebas tuduhan salah guna dadah

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam atas tuduhan penyalahgunaan dadah, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan rayuan Ahmad Saiful Islam, 33, untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 24 Jun tahun lepas.

Hakim Sequerah dalam penghakimannya berkata pengambilan hanya satu botol air kencing telah membuka kemungkinan berlakunya pencemaran kerana sampel yang sama digunakan oleh polis untuk ujian saringan dan ahli kimia untuk ujian pengesahan.

“Mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua botol sampel air kencing telah menyebabkan sabitan itu cacat,” kata hakim itu.

Menurut beliau Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) F103 dan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan dua botol plastik kosong dan bersih untuk mengumpul air kencing daripada suspek yang disyaki menyalahgunakan dadah.

“Suspek perlu diberi pilihan untuk memilih dua botol itu, salah satu botol untuk tujuan saringan polis manakala sampel kedua dihantar ke hospital untuk ujian pengesahan selepas botol pertama disahkan positif dadah.

“Botol kedua mesti ditutup dengan kemas dan selamat…garis panduan KKM Bil 6/2002 memerlukan sekurang-kurangnya 30 mililiter (ml) sampel air kencing diambil dalam satu botol,” katanya.

Hakim Sequerah seterusnya berkata adalah terbukti bahawa anggapan di bawah Seksyen 37(K) Akta Dadah Berbahaya perlu disangkal atas imbangan kebarangkalian mempunyai standard yang lebih tinggi daripada hanya untuk menimbulkan keraguan munasabah.

“Dalam keadaan itu, terdapat sebab yang lebih kukuh mengapa proses pengambilan sampel air kencing perlu dijalankan dengan pematuhan ketat dan prosedur, yang dalam kes ini adalah garis panduan dan kemungkinan pencemaran sampel dapat diminimumkan jika tidak dihapuskan kesemuanya.

“Oleh itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap perayu dan hukuman serta sabitan ini sepatutnya diketepikan. Wang jaminan berjumlah RM9,000 akan dikembalikan kepada perayu,” kata hakim itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah manakala Ahmad Saiful Islam diwakili peguam Datuk Nicholas Kow, Nasar Khan dan Emile Ezra Hussain.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini pada 2.05 pagi, 5 Jan 2019.

Pada 24 Jun tahun lepas, Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas tertuduh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan Ahmad Saiful Islam menjalani hukuman penjara itu mulai 24 Jun tahun lepas dan menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan selepas selesai hukuman penjara.

Pada 2 Julai tahun lepas, Ahmad Saiful Islam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret berhubung hukuman itu.

Mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *