Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG penjaja minuman mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya Disember tahun lalu dan Jun lalu.
Tertuduh yang berusia 40 tahun mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan melalui panggilan video aplikasi Whatsapp.
Tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah berikutan menjalani kuarantin di lokap.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan memasukkan jari dan menjilat kemaluan anak perempuannya yang berusia 16 tahun ketika berada di rumah mereka di Gurun, pada pukul 3 pagi 25 Disember tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Jun lalu pukul 5.30 petang di lokasi sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan perbuatan terbabit mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap
Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) AKSTKK 2017.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) AKSTKK 2017, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat.
Seksyen 16(1) AKSTKK 2017 pula memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh disebat tidak kurang daripada dua sebatan.
Mahkamah menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan perubatan dan juga fakta hukum.
Kes dikendalikan Pegawai Siasatan dan Perundangan Ibupejabat Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Superintendan Mohd. Fakruzi Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Leave a Reply