Perak Aidilfitri Ismail Sabri Yaakob Sultan Nazrin Shah

PM zahir penghargaan kepada Sultan Nazrin

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sepanjang tempoh baginda menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri berkata, segala pandangan, nasihat dan buah fikiran yang telah dizahirkan baginda telah banyak membantu dan sentiasa menjadi pedoman serta ingatan buat beliau dan rakan Jemaah Menteri dalam memastikan pentadbiran negara sentiasa berada di landasan tepat.

“Sememangnya inilah azam kerajaan baharu di bawah pimpinan patik pada hari tatkala mengangkat sumpah memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan warkah menjunjung kasih pada Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Dewan Bendahara, Istana Negara hari ini.

Sultan Nazrin menamatkan tugas menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom.

Baginda yang melaksanakan tugas itu pada 18 Sept lepas akan menamatkan tugas berkenaan pada 12 tengah malam nanti.

Ismail Sabri berkata, beliau juga akan terus berusaha memulihkan permasalahan rakyat serta memantapkan ekonomi negara terutamanya berhubung hala tuju negara dalam era pandemik COVID-19.

Perdana Menteri turut mendoakan agar Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dikurniakan taufik dan hidayah serta dilanjutkan usia untuk terus bersemayam atas takhta pemerintahan Perak dengan segala kemuliaan dan kedaulatannya. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *