SEORANG peniaga ikan dan seorang penternak lembu dihadapkan keMahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas tuduhan membunuh rakan sekampung di Kampung Air Kuning Linggi, Port Dickson, pada pertengan bulan ini.

Harian Metro melaporkan, dua bersaudara itu, S. Vickna Raja, 32, dan R. Kalaichelvam, 45, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret VVanita, bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didapati membunuh A. Kannan, 44, di sebuah pasar mini di Jalan Linggi Kampung Air Kuning Rantau, Port Dickson antara pukul 6.30 petang 12 Oktober hingga 8 pagi 13 Oktober lalu.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Paul Krishna Raja.

Sementara itu dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen Seremban, kedua-dua tertuduh didakwa di hadapan Hakim Madihah Harullah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang lelaki V. Arumugam, 70, yang juga ayah si mati dengan menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian dengan menggunakan parang.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di lokasi, masa dan tempat yang sama.

Berikutan itu kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Atiqah Abu Hassan.

Sebutan semula kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 8 Disember 2021 manakala pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan pada 25 November ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here