Harga ikan ‘low class’ di Terengganu mahal macam bedil?

“IKAN Selayang ‘low class’ macam ni pun RM13 sekilogram? Mahal macam bedil!” rungut seorang suri rumah dikenali sebagai mak cik Jenab mengenai harga ikan di pasaran Terengganu sejak kebelakangan ini yang didakwa sangat mahal.

Begitulah antara senario yang sering berlaku di negeri ini sejak dahulu hingga sekarang terutama ketika menjelang musim perayaan dan juga menghampiri musim tengkujuh.

Rungutan demi rungutan masyarakat pengguna tidak pernah padam, harga ikan di Terengganu terus melonjak naik di mana kategori ikan kecil yang disifatkan sebagai ‘low class’ pun kini dijual lebih mahal daripada harga sekilogram ayam.

Bayangkanlah kalau harga ikan Selayang dan Selar Pucat kini di jual sehingga RM13 sekilogram apatah lagi dengan ikan Cencaru, kembong dan Selar yang harganya terus melonjak antara RM15 hingga RM20 sekilogram.

Ini belum lagi memperkatakan mengenai ikan kategori gred A seperti Merah, Tenggiri, Jebong, Kerapu, Bawal Putih, Bawal Hitam, Jemuduk dan Cermin.

Boleh dikatakan sejak kebelakangan ini harga ikan di pasar-pasar tertentu di Terengganu kini semakin tidak stabil bukan sahaja pada musim perayaan dan musim tengkujuh semata-mata.

Malah, pada hari-hari biasa juga harga ikan adakalanya melonjak mahal, namun bagi menyediakan lauk pauk seisi keluarga, orang ramai masih membelinya.

Ada yang mengaitkan kenaikan harga ikan di pasaran disebabkan musim tengkujuh dan berlakunya wabak Covid-19 sehingga menjejaskan pergerakan nelayan untuk turun ke laut.

Benarkah itu yang mempengaruhi harga ikan di pasaran Terengganu sedangkan harga ikan mahal merupakan isu lama yang sehingga ini masih lagi belum selesai.

Alasan musim tengkujuh dan Covid-19 juga tidak berasas kerana ketika ini kebanyakan bot nelayan termasuk pukat jerut dan laut dalam masih keluar menangkap ikan.

Malah, rata-rata bot kelas A, B dan C masih belum berhadapan halangan besar memandangkan Monsun Timur Laut yang menyebabkan angin kencang dan laut bergelora beserta ombak besar belum lagi membadai perairan negeri ini.

Di pesisir pantai pula, nelayan pesisir yang menggunakan bot gentian kaca masih keluar menahan pukat, memancing dan mencandat sotong.

Begitu juga dengan stok ikan yang ditempatkan dibilik-bilik sejuk beku di lokasi tertentu negeri ini masih belum kehabisan.

Memandangkan Terengganu merupakan antara negeri yang terkenal dengan masyarakat nelayan dan aktiviti penangkapan ikan, isu ini tidak wajar dibiarkan berlarutan.

Sebenarnya isu harga ikan mahal di Terengganu bukan perkara baharu, ia merupakan isu lama yang belum dapat diselesaikan sama ada mahal disebabkan wujudnya orang tengah atau sebaliknya.

Akhirnya nelayan terus hidup sengsara manakala pengguna semakin terbeban, dipihak lain pula bergaya sakan.

Ekoran perkara inilah menyebabkan mengapa golongan anak muda kini semakin ramai tidak berminat untuk menjadi nelayan.

Kini, sudah sampai masanya kerajaan negeri mencari formula, kaedah dan pendekatan terbaik bagi menyelesaikan isu tersebut, sekaligus turut membantu memberi kehidupan baharu kepada masyarakat nelayan di negeri ini selain mengurangkan bebanan yang dialami pengguna.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *