KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memberi jaminan tiada data pengguna dalam aplikasi MySejahtera yang diceroboh atau digodam pihak bertanggungjawab.
Ini selepas aduan beberapa pengguna aplikasi berkenaan yang menerima kata laluan sekali (OTP) untuk mengesahkan nombor telefon melalui pendaftaran masuk QR ke sesebuah premis.
Pasukan MySejahtera dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan, telah menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut dan mendapati fungsi pendaftaran QR bagi premis perniagaan telah disalahguna.
Katanya, penyalahgunaan itu melalui akses skrip kepada nombor telefon secara rawak.
Namun begitu, Pasukan MySejahtera memaklumkan tindakan pantas telah dilakukan dengan menyekat aplikasi pengaturcaraaan antaramuka (API).
“Kami telah menerima banyak aduan melalui talian bantuan MySejahtera dan media sosial mengenai permintaan OTP bagi mengesahkan nombor telefon mereka untuk pendaftaran QR daftar masuk ke sesebuah premis.
“Pasukan MySejahtera telah menjalankan siasatan dan mendapati fungsi pendaftaran kod QR untuk kegunaan di premis perniagaan disalahgunakan oleh akses skrip yang menghantar OTP kepada nombor telefon secara rawak.
“Kami mohon maaf atas kejadian ini dan ingin meyakinkan semua pengguna bahawa tiada data pengguna yang diakses oleh skrim ini tetapi hanya berlaku penyebaran nombor telefon secara rawak,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Beberapa pengguna aplikasi MySejahtera membuat aduan mengatakan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) antara pukul 12 tengah malam Ahad hingga awal pagi Isnin meminta pengguna mengesahkan akaun mereka melalui OTP.
Leave a Reply