MAMPUKAH UMNO kembali menguasai tampuk kepemimpinan Kerajaan Negeri Melaka jika Pilihan Raya Negeri diadakan? Adakah UMNO benar-benar bersedia untuk bertanding secara solo tanpa mahu bekerjasama dengan mana-mana parti termasuklah Bersatu dan Pas? Atas pertimbangan apakah Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi begitu yakin parti itu akan menang?
Kalau mengikut penganalisis politik mereka melihat laluan UMNO agak getir apatah lagi Kerajaan Negeri Melaka pimpinan parti itu tumbang angkara langkah politik empat orang ADUN termasuk dua daripada UMNO.
Mereka pula bertindak kerana tidak berpuashati dengan pemimpin UMNO, akhirnya Ketua Menteri Melaka daripada UMNO, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali memohon perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd.Ali Rustam untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.
Isnin ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas di Melaka berkaitan PRN negeri itu.
Kalaulah SPR mengumumkan PRN akan dilaksanakan maka gendang PRN sudah dipalu. UMNO mempunyai misi penting untuk mempertahankan tampuk pemerintahan negeri. Soalnya adakah UMNO akan berjaya?
Kalau mengkaji keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO sebenarnya mempunyai laluan sukar untuk kembali berkuasa. Dalam pilihan raya tersebut daripada 13 kerusi yang dimenangi enam daripadanya dengan majoriti di bawah 1,000 undi.
DUN itu termasuklah kerusi Lendu yang disandang oleh Datuk Seri Sulaiman Md.Ali. Beliau menang di situ dengan majoriti 627 undi. Lima lagi kerusi ialah Taboh Naning (740 undi), Asahan (275 undi), Pantai Kundor (772 undi), Rim (536 undi) dan Merlimau (130 undi).
Sudah pasti dengan keengganan Ahmad Zahid untuk bekerjasama dengan Bersatu dan Pas, pertembungan tiga penjuru tidak dapat dielakkan lagi. Justeru jika itu berlaku peluang untuk UMNO mempertahankan kerusi-kerusi tersebut agak sukar.
Ahmad Zahid mungkin yakin mampu menang biarpun kehilangan kuasa memerintah Melaka dalam PRU-14. Faktor nasional dianggap menjadi punca kekalahan tersebut. Tetapi Ahmad Zahid dan UMNO perlu sedar senario sekarang jauh lebih getir untuk parti tersebut.
Selain masalah dalaman UMNO yang pasti akan membantutkan usaha parti itu menawan kembali Melaka, PRN kali ini juga dikatakan berpunca daripada UMNO. Kegelojohan UMNO meminta DUN dibubarkan telah membangkitkan kemarahan rakyat Melaka.
Ia memandangkan negeri itu baru sahaja mahu bangkit selepas dilanda pandemik Covid-19. Ketika rakyat baru sahaja mahu bernafas, mereka diseret untuk terlibat dalam krisis politik ciptaan UMNO.
Ahmad Zahid sering bercakap soal jajaran politik seperti mana berlaku di Perak sebagai solusi bagi mengelakkan ketegangan politik yang boleh memudaratkan rakyat tetapi kenapa di Melaka tidak berlaku?
Kenapa awal-awal lagi tidak berunding atau mengadakan kerjasama dengan pembangkang bagi mengelakkan PRN? Kenapa sudah terdesak mahu berunding dengan DAP?
Tetapi sekarang pembangkang bukan sahaja menolak UMNO malah UMNO sendiri mencipta musuh baru apabila tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu yang bersama dalam kerajaan dan pada masa sama sudah ‘kirim salam’ kepada Muafakat Nasional.
Dalam soal Bersatu kita boleh faham kerana parti itu sudah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dalam PRU-15 maka PRN Melaka dijadikan ‘pembuka tirai’, tetapi bagaimana dengan Pas yang sentiasa berusaha mempertahankan Muafakat Nasional?
Adakah kerana Ahmad Zahid melihat Pas tidak mempunyai kekuatan di Melaka memandangkan dalam PRU-14 Pas tidak menang satu pun kerusi di 23 kerusi yang ditandinginya? Justeru atas sebab itu beliau memandang Pas ‘sebelah mata’?
Ahmad Zahid harus sedar Pas mempunyai jentera dan penyokong yang boleh membantu kemenangan UMNO tetapi kalau UMNO mahu bekerjasama dengan Pas kerusi mana yang UMNO sedia korbankan kepada Pas?
Bagaimana pula kedudukan Pas sebagai anggota rasmi Perikatan Nasional dan kenapa harus meminggirkan Bersatu yang hakikatnya jika digabungkan kekuatan ketiga-tiga parti Melayu itu tidak mustahil sebuah kerajaan negeri yang kukuh dapat ditubuhkan.
Tetapi kepemimpinan UMNO tidak mahu. PRN Melaka mahu dijadikan medan uji kaji dan isyarat kononnya UMNO boleh menang biarpun bertanding secara solo dalam PRU-15 menggunakan panji-panji BN.
Tidak salah untuk mempunyai cita-cita tersebut tetapi berdasarkan senario politik semasa semua itu ibarat mimpi di siang hari. UMNO tidak akan mungkin menang jika bertanding secara sendirian tanpa sokongan parti-parti lain.
Kecualilah sudah ada dalam pemikiran kepemimpinan UMNO mereka mahu menubuhkan Kerajaan di Melaka dengan bergabung bersama PKR dan DAP, jika tiada mana-mana gabungan memiliki majoriti.
Bagaimanapun apa yang menjadi persoalan adakah ia akan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil? Apa jaminan tidak akan berlaku ‘tekan menekan’ antara satu sama lain memandangkan masing-masing memegang kunci penentu jatuh bangun kerajaan yang dibentuk tersebut?
Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh kepemimpinan UMNO sebenarnya akan membuka laluan mudah kepada Pakatan Harapan untuk kembali berkuasa di Melaka. Dalam pakatan itu tidak berantakan seperti mana UMNO dan dalam pakatan itu tidak ada mana-mana parti mahu bertanding secara solo.
Formula terbaik di Melaka ialah ketiga-tiga parti Melayu bergabung dan menentang Pakatan Harapan dalam pertarungan satu lawan satu bukan tiga penjuru apatah lagi melibatkan pertembungan antara parti Melayu.
Kenapa begitu angkuh sangat mahu bertanding sendirian seolah-olah UMNO parti paling kuat di Melaka sedangkan sebelum ini selepas kalah dalam PRU-14 mahu jadi kerajaan pun atas sokongan Bersatu dan ADUN Bebas?
Kesimpulannya, kalau UMNO mahu menjadikan PRN Melaka sebagai medan ujikaji kekuatan parti itu, silakan sahaja tetapi seandainya ujian itu gagal Ahmad Zahid dan seluruh kepemimpinan UMNO Melaka pasti apa yang harus dilakukan.
Jangan hanya bijak bercakap menghormati keputusan rakyat sedangkan kita sendiri yang menyebabkan rakyat terpaksa membuat keputusan tersebut.
Leave a Reply