Zahid mohon pasport jalani rawatan di Jerman

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, hari ini memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

Peguam Hamidi Mohd Noh mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

“Anak guam saya mengalami sakit belakang dan leher. Beliau pada asalnya dirawat oleh doktor dari Jerman pada 2013, 2014, 2016.

“Kami membuat permohonan ini untuk membolehkan tertuduh menerima rawatan. Rawatan intervensi di Malaysia tidak mencukupi untuk (mengurangkan kesakitan) beliau,” kata Hamidi.

Permohonan itu difailkan pada 4 Okt dan hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng yang tidak membantah permohonan itu.

Hakim kemudiannya menetapkan Isnin ini untuk keputusan permohonan berkenaan.

Sementara itu Hamidi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, Ahmad Zahid memohon pasportnya dipulangkan pada 26 Okt dan akan mengembalikannya pada 21 Nov.

“Kami akan membuat permohonan yang sama (mendapatkan pasport) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Isnin ini,” katanya.

Ahmad Zahid, 68, menghadapi 47 tuduhan – 27 kes pengubahan wang haram, 12 membabitkan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah – melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *