Oleh RAHIMI MOHAMAD
POLIS menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan melibatkan dua beradik berusia enam dan 11 tahun di Taman Selesa Jaya, Skudai baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua mereka yang ditahan itu merupakan pengasuh kepada dua beradik berkenaan.
“Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 32 tahun itu dikenakan tahanan reman bermula hari ini sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan.
“Sementara dua daripada tiga individu yang ditahan polis sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru semalam iaitu B. Mariamah, 60, dan anak perempuannya, R. Deeba, 37.
“Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya, hari ini.
Semalam, dua beradik itu dilaporkan didera dengan cara dipukul dengan rotan getah paip, disimbah dengan air panas selain dicucuh dengan puntung rokok dipercayai perbuatan pengasuh mereka.
Kes penderaan kedua-dua beradik tersebut menjadi perhatian orang ramai selepas tular dalam media sosial.
Dzulkhairi berkata, kedua-dua suspek yang ditahan itu tidak bekerja dan kemudian dikenakan jaminan RM15,000 masing-masing, namun kerana gagal membayar, mereka ditahan dalam lokap di sini.
Katanya, mahkamah kemudian menetapkan tarikh 24 November ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
“Seorang lagi individu yang ditahan sebelum ini iaitu teman lelaki Deeba yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dibebaskan dengan bon jaminan serta akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, kedua-dua beradik mangsa dera itu kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ibu kepada kanak-kanak tersebut, M. Vikneswari, 30, sebelum ini memberitahu, dia yang sudah kematian suami meninggalkan anaknya dalam jagaan pengasuh itu yang dikenali melalui seorang kenalannya.
Dia dilaporkan berkata, anak-anaknya ditinggalkan bersama pengasuh berkenaan sejak April lalu dengan upah RM800 sebulan.
“Sejak April lalu saya hanya bertemu dengan anak-anak sebanyak tiga kali sahaja kerana sibuk bekerja selain pengasuh memberi pelbagai alasan untuk menghalang saya bertemu mereka termasuk dikenakan kuarantin,” katanya.
Leave a Reply