Idris Haron

Dakwaan penyelewengan: SPRM akan jumpa Idris

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar pegawai untuk berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berhubung dakwaan berlaku pembolotan projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka.

Menurut SPRM, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Idris berhubung isu tersebut.

SPRM turut memandang serius dakwaan berkenaan dan meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan agar tampil memberi kerjasama.

“Ingin ditegaskan bahawa kegagalan untuk melaporkan mana-mana salah laku di bawah Akta SPRM merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Astro Awani melaporkan Idris mempertahankan tindakannya menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka adalah untuk menyelamatkan UMNO daripada ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menjelaskan tindakannya, beliau menyatakan bahawa tidak boleh lagi menyokong kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) itu.

“Kalau UMNO ini terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan itu tangan kanan dan kiri disuapkan ke mulut sambil mata menjeling lagi ke makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka ini.

“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak daripada tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti, semuanya berlaku dengan jelas,” dakwanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *