MENTERI Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yakin pergolakan politik yang berlaku di Melaka tidak akan merebak ke Perak.

Beliau berkata, ini kerana kerjasama baik ditunjukkan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang turut sama dalam sesi libat urus Belanjawan Perak 2022 pada minggu lalu.

“InsyaAllah tak ada (kemelut politik), di Perak Insya-Allah stabil dan kita akan beri perhatian untuk membuat persiapan bagi membentang belanjawan negeri.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk rakan pembangkang yang telah memberi pandangan (mengenai belanjawan negeri), kita mengambil kira semua pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh, hari ini.

Semalam, kemelut politik melanda Melaka apabila empat ADUN mengumumkan tidak lagi menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan kerajaan Melaka tumbang apabila hilang majoriti dan difahamkan petang ini satu sidang akhbar pemburan Dewa Undangan Negeri (DUN) Melaka akan diumumkan.

Saarani berkata, kerajaan Perak kekal stabil dan fokus semua pihak ketika ini terarah kepada pembentangan belanjawan.

Menurutnya, fokus belanjawan kali ini akan tertumpu kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negeri dan memberi perhatian kepada kebajikan rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Katanya, kerajaan negeri juga akan sedaya upaya berlaku adil menerusi pembentangan belanjawan negeri biarpun semua permintaan tidak dapat dipenuhi disebabkan kekangan kewangan dan sumber yang tidak mencukupi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here