“Kita mula melihat cahaya di hujung terowong’’ – kata Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin berkata, hasil ketahanan, kesabaran dan semangat kebersamaan Malaysia Prihatin serta sokongan petugas barisan hadapan dan segenap lapisan rakyat ketika negara menangani pandemik Covid-19 telah membolehkan kita mula melihat cahaya di hujung terowong.

Beliau yang mengambil alih tampuk kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri mulai 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos lalu berhadapan dengan cabaran getir berikutan serangan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini, Muhyiddin berkata, Malaysia juga terjejas apabila sehingga kini lebih 2 juta kes positif disahkan, dengan lebih 25,000 kematian.

‘’Kenyataan ini agak pahit untuk kita telan. Mereka yang terkorban akibat virus ganas itu ada antaranya adalah ibu, bapa, anak, saudara lelaki dan perempuan, sahabat dan kenalan rapat kita,’’ katanya.

Muhyiddin mengimbas kembali, bagaimana dalam masa-masa sukar sebelum ini, kerajaan pimpinan beliau telah bertindak tegas untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan memelihara ekonomi daripada terjejas lebih teruk.

‘’Kita mengambil langkah drastik menutup sempadan negara dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang belum pernah dibuat sebelum ini,’’ katanya.

Selain itu kata beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai lebih RM530 bilion turut diumumkan untuk rakyat, memberikan bantuan tepat pada masanya dan sangat diperlukan.

‘’Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK merupakan kejayaan terbesar negara yang menyaksikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dalam liputan vaksinasi populasi dewasa.

‘’Berdasarkan statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), setakat 28 September, sejumlah 19,912,566 individu atau 85.1 peratus sudah lengkap divaksinasi manakala 21,993,709 individu atau 94 peratus telah menerima sekurang- kurangnya satu dos vaksin,’’ katanya.

Mengenai RMK-12, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata,  ia adalah rancangan jangka sederhana untuk Malaysia mencapai matlamat muncul kembali sebagai gergasi ekonomi Asia yang tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.

Untuk mencapai objektif itu, kata beliau peranan MPN menjayakan pelan pemulihan negara menjadi amat signifikan sebagai pembuka jalan dan pemangkin kepada pembaharuan dan perubahan yang perlu dilaksanakan dalam proses reformasi dan transformasi yang dirancang.

‘’Satu cara untuk RMK-12 mencapai sasarannya menjadikan Malaysia sebuah negara yang Makmur, Inklusif dan Mampan, adalah dengan semua pihak mengetepikan perbezaan yang ada dan bersatu di bawah payung Keluarga Malaysia, berusaha sedaya- upaya meningkatkan produktiviti dengan kemampuan dan kebolehan masing-masing.

‘’Sekarang adalah masanya. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Bersatulah atas nama anak Malaysia dengan semangat wira seumpama berperang melawan musuh durjana. Kita sudah hampir menang melawan musuh halimunan, COVID-19, sasaran kita kini adalah untuk mendokong usaha Kerajaan memulihkan negara yang kita cintai ini dan membawa Malaysia kembali ke puncak kegemilangan dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *