Category: RMK-12

  • Jurutera hilang ditemui maut dalam kemalangan

    Jurutera hilang ditemui maut dalam kemalangan

    “SAYA lega Ayah segera ditemui, biarpun sudah tidak bernyawa, kami sekeluarga reda.”

    Demikian luahan Zul Husni Zahari, 39, yang merupakan anak sulung kepada Zahari Zakaria, 62, juruukur di Pelabuhan Johor, yang hilang selepas bertolak dari rumahnya di Kemaman, Terengganu untuk kembali bekerja di Pasir Gudang, pada Ahad.

    Jelas Zul Husni, ayahnya bertolak sekitar pukul 10.30 malam pada Ahad selepas menghantar ibunya pulang ke Kemaman, Terengganu.

    Zahari Zakaria
    Zahari Zakaria

    Katanya, ayahnya memaklumkan mahu pulang ke Pasir Gudang kerana ada urusan kerja yang belum diselesaikan lagi.

    “Ahad lebih kurang jam 10.30 malam ayah bergerak dari rumah. Sepatutnya ayah dijangka tiba di tempat kerja pada keesokan paginya.

    “Ibu ada menghubungi ayah pada waktu Subuh tetapi tidak dapat dihubungi. Saya hubungi tempat kerja ayah, memaklumkan ayah tiada. Saya jadi risau dan membuat laporan polis sebelum menularkan kehilangan ayah di media sosial.

    “Kami semua menetap di Kemaman, Terengganu. Hanya ayah sahaja yang berulang dari Pasir Gudang-Kemaman, Terengganu kerana bertugas,” katanya, lapor Astro Awani.

    Tambah Zul Husni, ayahnya sudah lebih 20 tahun melalui jalan sama setiap kali pulang bertugas iaitu menggunakan Jalan Kemaman ke Johor Bahru laluan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi-Pasir Gudang.

    Katanya lagi, selepas membuat laporan polis, pihaknya ada menghubungi beberapa balai polis untuk bertanyakan tentang kemalangan di sepanjang jalan terbabit.

    “Kalau diikutkan ayah sudah bersara tetapi ditawarkan semula kerja secara kontrak sejak tahun lalu.

    “Cukup 24 jam saya buat laporan polis berhubung kehilangan ayah dan ada menghubungi balai polis bertanyakan sama ada terdapat kemalangan di sepanjang laluan perjalanan ayah. Namun, semalam tiada berita dan dapat tahu ini ada kemalangan pagi ini,” katanya.

    Sejak pagi Selasa, tular di media sosial kehilangan Zahari Zakaria yang menaiki kereta Produa Myvi berwarna biru selepas bergerak ke Pasir Gudang dari Kemaman, Terengganu pada Ahad gagal dihubungi.

  • Perdana Menteri bentang RMK-12 di Dewan Negara

    Perdana Menteri bentang RMK-12 di Dewan Negara

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, hari ini.

    Rancangan Malaysia dari 2021 hingga 2025 itu sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat Khamis lepas selepas dibentang pada 27 Sept lepas dan dibahas 106 Ahli Parlimen.

    Ia yang menjadi landasan hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun, selepas ini akan melalui sesi perbahasan Ahli Dewan Negara sebelum diluluskan di peringkat Dewan Negara.

    Ismail Sabri ketika membentangkan perancangan lima tahun berkenaan di Dewan Negara berkata, RMK-12 adalah pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama.

    Bermatlamatkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, beliau berkata pembaharuan yang diperkenalkan dalam RMK-12 meliputi tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan.

    “Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (atau CSO) serta rakyat dalam penggubalan dan pelaksanaan rancangan ini.

    “Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menangani krisis berkembar ini (ekonomi dan kesihatan). Kerajaan akan memperuntukkan RM400 bilion bagi memenuhi keperluan RMK12, terutamanya untuk membiayai projek pembangunan,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau berkata dalam keadaan kewangan semasa yang terhad, tumpuan perbelanjaan pada tahun ini dan 2022 adalah untuk melindungi nyawa dan kehidupan serta memenuhi komitmen projek sambungan.

  • “Kita mula melihat cahaya di hujung terowong’’ – kata Muhyiddin

    “Kita mula melihat cahaya di hujung terowong’’ – kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin berkata, hasil ketahanan, kesabaran dan semangat kebersamaan Malaysia Prihatin serta sokongan petugas barisan hadapan dan segenap lapisan rakyat ketika negara menangani pandemik Covid-19 telah membolehkan kita mula melihat cahaya di hujung terowong.

    Beliau yang mengambil alih tampuk kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri mulai 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos lalu berhadapan dengan cabaran getir berikutan serangan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

    Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini, Muhyiddin berkata, Malaysia juga terjejas apabila sehingga kini lebih 2 juta kes positif disahkan, dengan lebih 25,000 kematian.

    ‘’Kenyataan ini agak pahit untuk kita telan. Mereka yang terkorban akibat virus ganas itu ada antaranya adalah ibu, bapa, anak, saudara lelaki dan perempuan, sahabat dan kenalan rapat kita,’’ katanya.

    Muhyiddin mengimbas kembali, bagaimana dalam masa-masa sukar sebelum ini, kerajaan pimpinan beliau telah bertindak tegas untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan memelihara ekonomi daripada terjejas lebih teruk.

    ‘’Kita mengambil langkah drastik menutup sempadan negara dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang belum pernah dibuat sebelum ini,’’ katanya.

    Selain itu kata beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai lebih RM530 bilion turut diumumkan untuk rakyat, memberikan bantuan tepat pada masanya dan sangat diperlukan.

    ‘’Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK merupakan kejayaan terbesar negara yang menyaksikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dalam liputan vaksinasi populasi dewasa.

    ‘’Berdasarkan statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), setakat 28 September, sejumlah 19,912,566 individu atau 85.1 peratus sudah lengkap divaksinasi manakala 21,993,709 individu atau 94 peratus telah menerima sekurang- kurangnya satu dos vaksin,’’ katanya.

    Mengenai RMK-12, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata,  ia adalah rancangan jangka sederhana untuk Malaysia mencapai matlamat muncul kembali sebagai gergasi ekonomi Asia yang tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.

    Untuk mencapai objektif itu, kata beliau peranan MPN menjayakan pelan pemulihan negara menjadi amat signifikan sebagai pembuka jalan dan pemangkin kepada pembaharuan dan perubahan yang perlu dilaksanakan dalam proses reformasi dan transformasi yang dirancang.

    ‘’Satu cara untuk RMK-12 mencapai sasarannya menjadikan Malaysia sebuah negara yang Makmur, Inklusif dan Mampan, adalah dengan semua pihak mengetepikan perbezaan yang ada dan bersatu di bawah payung Keluarga Malaysia, berusaha sedaya- upaya meningkatkan produktiviti dengan kemampuan dan kebolehan masing-masing.

    ‘’Sekarang adalah masanya. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Bersatulah atas nama anak Malaysia dengan semangat wira seumpama berperang melawan musuh durjana. Kita sudah hampir menang melawan musuh halimunan, COVID-19, sasaran kita kini adalah untuk mendokong usaha Kerajaan memulihkan negara yang kita cintai ini dan membawa Malaysia kembali ke puncak kegemilangan dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,’’ katanya.

  • Muhyiddin cadangkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi disambung ke Bangkok

    Muhyiddin cadangkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi disambung ke Bangkok

    TAN SRI Muhyiddin Yasssin berkata, pelaksanaan projek Kereta Api Berkelanjuan Tinggi (HSR) ke Johor Bharu perlu juga dilaksanakan ke utara untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand dengan pembiayaan swasta yang melibatkan konsortium kewangan dalam negara.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, impak projek seperti itu akan memberi kesan berganda dalam membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baharu serta pembangunan wilayah dan pengwujudan bandar-bandar baharu sepanjang laluan HSR.

    ‘’Ini sudah tentunya akan menghasilkan nilai berganda berbilion ringgit dan mendatangkan manfaat besar kepada rakyat termasuk masyarakat Bumiputera,’’ katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, perkembangan masa depan Malaysia, mesti mengandungi program dan projek penting atau utama yang boleh melonjakkan atau spearhead pertumbuhan pengeluaran negara, peluang pekerjaan dan pendapatan dalam jangka pendek dan sederhana.

    ‘’Namun dalam peralihan untuk menjadi Negara Berpendapatan Tinggi, realiti kehidupan rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik lebih setahun lalu perlu diberi penelitian dan pertimbangan yang sewajarnya di samping kepentingan masyarakat Bumiputera khususnya di Sabah dan Sarawak untuk mendapat faedah daripada pertumbuhan ekonomi,’’ katanya.

    Muhyiddin menegaskan, jika sebelum ini, rakyat Malaysia dikategorikan dalam kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 – realitinya kini sudah berlaku rombakan ketara apabila ramai dalam kalangan M40 yang tergelincir ke dalam kumpulan B40 kerana kehilangan mata pencarian atau terjejas sumber pendapatan sepanjang pandemik.

    ‘’ Ini menunjukkan rapuhnya pembangunan ekonomi yang lalu. Oleh itu, inisiatif dan strategi yang digariskan di bawah RMK- 12 perlu bersifat cakna dan prihatin kepada isu agihan agar kekayaan, pertumbuhan dan peluang dapat disebarkan merentasi semua golongan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat pedalaman, bumiputera dan Melayu, Orang Asli dan pribumi Sabah dan Sarawak.

    ‘’Kuncinya adalah pembangunan inklusif atau keterangkuman supaya tidak ada yang akan ketinggalan – No one will be left behind,’’ katanya.

    Beliau berkata, RMK-12 perlu meneruskan tindakan menyuntik reformasi mendasar yang benar-benar akan mengubah pendekatan ke arah lebih inklusif untuk semua, yang dibangunkan atas asas kekuatan ekonomi dan keutuhan rakyat, serta tidak mengabaikan keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penggunaan teknologi hijau.

    ‘’ RMK-12 juga perlu memastikan segala perancangan ekonomi dan kewangan adalah tegas dan berani untuk menuju Negara Berpendapatan Tinggi menjelang 2025, dengan Pendapatan Negara Kasar per kapita meningkat dari RM42,755 kepada RM54,843. Dengan adanya dasar dan instrumen yang tepat dan pelaksanaan Game Changer yang agresif dalam RMK-12, sasaran ini tidak mustahil dicapai,’’ katanya.

  • Demi mantapkan pemulihan ekonomi, nilai semula peranan GLC,GLIC – Muhyiddin

    Demi mantapkan pemulihan ekonomi, nilai semula peranan GLC,GLIC – Muhyiddin

    PERANAN syarikat-syarikat berkaitan kerajaan – GLC dan GLIC – perlu dinilai semula agar aset-aset kerajaan yang ada dapat dioptimumkan untuk membantu mengukuhkan infrastruktur negara bagi memantapkan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi selanjutnya.

    Ketika menegaskan perkara itu Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  GLC diminta supaya tidak bersaing dengan sektor swasta demi mengukuhkan keusahawanan negara kita.

    ‘’Mereka seharusnya melabur dalam bidang yang berimpak tinggi termasuk meneroka pasaran baharu dalam dan luar negara. Sehubungan itu, kerajaan perlu memberi tumpuan memperkukuhkan sektor-sektor ekonomi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merancakkan pemulihan Malaysia dan menjadikan negara sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan, yang mempunyai teknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah atau value-added yang lebih besar,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, tumpuan juga perlu diberikan dalam penyediaan peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor moden seperti perkilangan dan perkhidmatan bagi memastikan pembangunan bakat dan modal insan memenuhi keperluan pembangunan sosioekonomi, di samping meneroka potensi pekerjaan baharu terutama melibatkan ekonomi gig dan yang berteraskan Era Teknologi Digital.

    ‘’Kerajaan perlu meneruskan tindakan proaktif di bawah Majlis Pekerjaan Negara untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.

    ‘’Setakat ini 376,000 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan di bawah inisiatif kerajaan. Pada permulaan pelaksanaan RMK-12 ini, usaha mengenal pasti secara agresif golongan yang mengganggur akibat pandemik COVID-19 perlu diberikan keutamaan,’’ katanya.

    Beliau berkata,  penting dalam usaha untuk merangka strategi dan tindakan proaktif menyediakan bentuk-bentuk bantuan mengikut realiti yang didepani setiap rakyat pada hari ini, agar segala bantuan dapat disalurkan secara bersasar dan memenuhi kehendak golongan yang benar-benar memerlukan.