tokong

Rusuhan depan tokong, polis tahan 4 individu

POLIS menahan seramai empat individu bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan berhampiran sebuah tokong di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kira-kira pukul 11.45 pagi hingga 4 petang tadi, satu operasi telah dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

Menurut beliau, dalam operasi tersebut pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.

“Semasa operasi sedang dijalankan terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi.

“Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.

“Dalam insiden tersebut pihak polis telah menahan empat individu berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Muhammad Idzam menambah, satu rakaman video berkaitan isu tersebut telah dimuat naik dalam laman Facebook bagi meraih simpati dan dieksploitasi.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.

“Pihak polis daerah Cheras menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut,” jelasnya.

Muhammad Idzam berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi Asisten Superintendan Mohamad Sukri Ishak (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 013-2165881 atau mana-mana balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *