Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

PELAN pemulihan ekonomi rakyat yang terkesan akibat Covid-19 menjadi fokus utama Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan nanti.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perancangan RMK-12 dan belanjawan itu sudah disiapkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan akan diteruskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita sudah buat persiapan dan disambung balik di bawah Perdana Menteri kesembilan (Ismail Sabri). Disiapkan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk tempoh lima tahun.

“Tahun ini sudah bermula, negara akan berdepan dengan situasi yang amat mencabar dalam tempoh empat tahun akan datang baik daripada segi kedudukan kewangan kerajaan, baik daripada soal peruntukan untuk pembangunan termasuklah di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Muhyiddin beramah mesra dengan penduduk dan peniaga semasa melawat Taman Pagoh Jaya

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ziarah kepada penduduk sekitar dan peniaga di Taman Pagoh Jaya, Muar, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga bekas Menteri Besar Johor.

Perdana Menteri akan membentang RMK-12 di Dewan Rakyat pada Isnin ini manakala Belanjawan 2022 akan dibentang pada hujung bulan depan.

Muhyiddin berkata, apabila RMK-12 dan belanjawan itu dibentangkan Perdana Menteri nanti, pandangan pelbagai pihak akan diambil kira.

Beliau yakin pelbagai langkah dan usaha tambahan akan dilaksanakan kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara yang dilanda pandemik Covid-19 ketika ini.

ADUN Gambir itu berkata, MPN akan memainkan peranan penting bagi memastikan usaha-usaha pemulihan ekonomi negara dapat direalisasikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here