Oleh:RIZQI ZABIDI
SEORANG wanita ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati hari ini selepas lapan hari keluar dari rumahnya untuk ke kuil, bagi menjalankan upacara buat mendiang suami yang meninggal dunia sejak 2008.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam, mayat L.Hemavathi, 43, ditemui dalam kereta miliknya yang terbalik di sebuah parit dekat Jalan Batu Puteh – Sungai Kob kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Katanya, mayat mangsa yang bekerja sebagai operator kilang di sebuah kilang di Kulim, didapati terperangkap dalam kereta tersebut.
“Kereta mangsa dipercayai terbabas lalu terbalik dalam parit yang dikelilingi semak hingga tidak terlihat dari jalan besar.
“Tempat mangsa ditemukan tidak jauh daripada kuil di Ladang Maryland dengan jasadnya sudah berbau dipercayai telah meninggal dunia sejak lebih seminggu lalu,” katanya.
Tambahnya pemerhatian mendapati tiada kesan brek atas jalan tar dengan kereta itu remuk terutamanya di bahagian bumbung dan depan.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba. Kecederaan tidak dapat dikenal pasti secara kasar kerana rupa fizikal mangsa yang telah terjejas,” katanya.
Menurutnya, barang kemas berupa rantai leher, cincin, rantai tangan serta pakaian mangsa masih lengkap seperti mula-mula dia keluar dari rumah sebelum dilaporkan hilang.
“Dipercayai tiada unsur-unsur jenayah yang boleh dikaitkan. Mangsa dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar manakala ‘air bag’ pula kelihatan berfungsi,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani bagi tujuan bedah siasat.
Leave a Reply