SEBUAH syarikat pembuatan acuan plastik didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini kerana gagal memastikan keselamatan terhadap pekerjanya sehingga menyebabkan kematian.
Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Syarikat Ryoka (Malaysia) Sdn. Bhd selepas Pengurus Sumber Manusianya, S. Letchumi Kaanthan, 44, yang mewakili syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mahkamah turut memerintahkan wakil syarikat itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Syarikat itu bagaimanapun membayar denda dikenakan.
Mengikut pertuduhan, Ryoka (Malaysia) sebagai majikan didakwa telah gagal memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi pekerja syarikat itu, Azman Abdullah, 29, dengan gagal mengadakan latihan bagi kerja-kerja pengacuan suntikan sehingga menyebabkan kemalangan maut ke atas mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di Lot 9, Jalan P/1, Bangi Industrial Estate, Seksyen 13, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 11.45 pagi, 5 Nov 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Selangor Idris Abdul Rahman memohon hukuman setimpal, mengambil kira faktor kepentingan awam dan pekerja.
“Dalam kes ini, syarikat itu gagal memberikan latihan sepatutnya sehingga menyebabkan kemalangan maut. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada OKS (Orang Kena Saman) dan golongan majikan di luar sana supaya tidak mengambil mudah tentang keselamatan dan kebajikan pekerja pada masa akan datang,” katanya.
Peguam R Maran yang mewakili syarikat itu memohon hukuman ringan atas alasan kesalahan itu diakui oleh anak guamnya dan ia pertama kali berlaku sepanjang syarikat berkenaan beroperasi lebih 30 tahun.
“Hari ini, pengarah urusan syarikat datang ke mahkamah untuk mendengar prosiding kes. Pihak syarikat juga telah selesai memberi pampasan kepada keluarga mangsa selepas kejadian tersebut,” kata peguam itu.- BERNAMA
Leave a Reply