mukhriz mahathir

RM13j wang MBI ke Kanada semasa Mukhriz jadi MB?

Oleh RIZQI ZABIDI

Sebanyak RM13 juta wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah didakwa dipindahkan ke dalam akaun di luar negara ketika Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjadi Menteri Besar Kedah sebelum ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, beliau sehingga kini masih lagi menyimpan slip bank berkaitan pemindahan wang tersebut yang didakwa berpangkalan di Kanada.

Bagaimanapun beliau tidak langsung mendedahkan siapa pemilik akaun tersebut dan tujuan ia dipindahkan ke luar negara.

“Saya tak ungkitkan hal lama tetapi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mukhriz sebut mengenai membangkitkan hal lama. Rasanya selama ini saya tak pernah bangkitkan hal beliau.

“Ada hal lama pemindahan wang Menteri Besar Incorporated (MBI) ke satu akaun luar negara di Kanada. Berlaku pada zaman Mukhriz jadi Menteri besar, saya tak pernah sebut pun mengenainya sebelum ini, hari ini baru sebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Mengulas kenyataan Mukhriz dalam Sidang DUN mengenai kehadiran penasihat yang didakwa membantu dirinya membuat keputusan semasa menjadi Menteri Besar, Muhammad Sanusi secara sinis menegaskan selama ini Mukhriz bukanlah dikelilingi oleh penasihat sebaliknya ‘punah sihat’.

“Saya bawa satu cerita saja iaitu apabila saya jadi kerajaan, dibawa dalam mesyuarat Exco untuk dibayar satu perbelanjaan yang dibuat oleh penasihat-penasihat Menteri Besar pada masa itu, untuk membekalkan kuih raya. Saya dapati harga beg untuk bekalan itu lebih mahal daripada harga kuih.

“Sebab itu saya katakan, beliau bukan dikelilingi penasihat sebaliknya dikelilingi ‘punah sihat’,” ujarnya.

Sementara itu Mukhriz ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut dalam sidang akhbar bersama ADUN-ADUN pembangkang pada petang ini mendakwa, beliau mengharapkan Menteri Besar dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung dakwaan itu.

“Ini satu dakwaan yang cukup serius dan kita mengharapkan Muhammad Sanusi dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi. Tak bolehlah lontar dakyah atau tohmahan begitu saja seolah-olah ‘hit and run’.

“Ini pertama kali saya dengar mengenai dakwaan tersebut. Jadi saya ingin sarankan supaya Muhammad Sanusi buat laporan polis kalau dia betul percaya benda itu berlaku,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *