Tag: Mukhriz Mahathir

  • ‘Biarkanlah… dia terdesak cari tempat’, kata Hamzah

    ‘Biarkanlah… dia terdesak cari tempat’, kata Hamzah

    TINDAKAN Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang cuba bermain dua kolam diselar Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyifatkan langkah bekas pemimpin Bersatu itu sebagai terdesak.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu menegaskan, tindakan Mukhriz yang cuba meminta kerusi termasuk mahu bekerjasama dengan kedua belah pihak cuma mahu menjamin kelangsungan karier bekas Ahli Parlimen Jerlun sebagai ahli politik.

    Katanya, dalam keadaan terdesak sekarang, itu tindakan biasa yang akan dilakukan orang politik seperti Mukhriz agar dapat terus ‘hidup’ dalam kancah politik negara.

    “Maknanya dia desprate (terdesak) sekarang untuk mencari tempat. Biarkanlah.

    “Tak apalah, sebagai orang politik dia terpaksa supaya dia boleh bergantung hidup (dengan parti politik lain),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.

    Ketua Pembangkang itu diminta mengulas cubaan Mukhriz bermain dua kolam dengan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PN dan PH, untuk mengadakan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    BH semalam melaporkan kenyataan sumber PN Kedah yang rapat dengan bekas menteri besar Kedah itu mengenai permintaan berhubung peruntukan sejumlah kerusi dibuat Mukhriz sewaktu bertemu dengan kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut mengesahkan Mukhriz ada bertemunya di ibu negara kira-kira dua bulan lalu, bagi membincangkan mengenai ruang kerjasama antara Pejuang dan PH bagi menghadapi PRN Kedah.

    Namun, Mahfuz menyarankan Mukhriz bertemu secara terus dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana isu mengenai kerjasama dalam PRN hanya boleh diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

  • PRN: Mukhriz didakwa cuba main dua ‘kolam’, minta kerusi daripada PN, PH

    PRN: Mukhriz didakwa cuba main dua ‘kolam’, minta kerusi daripada PN, PH

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikatakan meminta Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan sejumlah kerusi kepada parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Berita Harian dalam laporannya memetik sumber PN Kedah yang rapat dengan Mukhriz menyatakan, ia antara intipati pertemuan antara bekas Menteri Kedah itu dengan lima kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Kata sumber itu, Mukhriz menyatakan hasrat untuk Pejuang menjalin kerjasama dengan PN dalam PRN Kedah, dengan harapan kerjasama itu menjadi talian hayat untuk Mukhriz mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.

    Difahamkan, Mukhriz memohon sekurang-kurangnya dua kerusi diperuntukkan kepada Pejuang sekiranya kerjasama itu menjadi kenyataan, iaitu kerusi DUN Jitra yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dan DUN Anak Bukit yang disandang wakil Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

    “Ketika bertemu lima pemimpin tertinggi Pas baru-baru ini, Mukhriz menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PN dan mahu diperuntukkan beberapa kerusi kepada Pejuang.

    “Dalam pertemuan itu, pimpinan Pas tidak memberi sebarang kata putus kerana perbincangan masih di peringkat permulaan.

    “Namun, tindakan Mukhriz yang turut mengadakan pertemuan dan menyatakan minat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), memperlihatkan beliau cuba bermain dua kolam untuk pertahankan kerusinya,” kata sumber yang juga EXCO kerajaan negeri Kedah kepada BH, hari ini.

    Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Menteri Besar Kedah itu dilaporkan berkata, intipati perbincangan antara dua pihak bagaimanapun belum didedahkan setakat ini memandangkan perbincangan itu hanya membabitkan lima kepemimpinan tertinggi parti bersama Mukhriz.

    BH hari ini melaporkan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut mengesahkan Mukhriz ada bertemunya di ibu negara kira-kira dua bulan lalu bagi membincangkan mengenai ruang kerjasama antara Pejuang dan PH bagi menghadapi PRN Kedah.

    Namun, Mahfuz menyarankan Mukhriz bertemu secara terus dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana isu mengenai kerjasama dalam PRN hanya boleh diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

  • Dr Mahathir kritik parti anak sendiri

    Dr Mahathir kritik parti anak sendiri

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diterajui anaknya sendiri, lebih mengutamakan parti lain terkait rasuah berbanding terus bersama Gerakan Tanah Air (GTA).

    Menurut bekas Pengerusi Pejuang itu, beliau hairan kenapa parti diketuai anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai presiden, sanggup bertindak untuk keluar GTA yang mana pemimpinnya langsung tidak terpalit dengan rasuah.

    Katanya, beliau turut mengakui kecewa dengan keputusan Pejuang untuk keluar dari GTA.

    “Kita cuba nak cantumkan orang Melayu yang bersih rasuah menerusi GTA kerana parti yang besar semua terbabit dengan rasuah.

    “Parti kecil yang tinggal sekarang hanyalah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN),” katanya pada sidang media, di Putrajaya semalam, lapor Berita Harian.

    Mengulas mengenai reaksi Mukhriz berhubung perkara itu, bekas Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

    “Saya tak tahu, itu pemikiran dia (Mukhriz),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Dr Mahathir bersama 12 ahli lain memutuskan untuk keluar daripada Pejuang, difahamkan kerana kecew parti itu memutuskan hubungan dengan GTA.

    Pejuang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai pengerusinya pada Disember tahun lalu.

  • PEJUANG umum tarik diri daripada GTA – Mukhriz

    PEJUANG umum tarik diri daripada GTA – Mukhriz

    PERWAKILAN Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengumumkan menarik diri daripada Gerakan Tanah Air (GTA) pada mesyuarat agung kedua parti itu.

    Menurut Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ketetapan itu juga membolehkan PEJUANG diberikan sedikit masa untuk mengukuhkan parti dalam banyak perkara dilakukan sebelum ia benar-benar dapat memberi nilai tambah kepada mana-mana parti dalam gabungan itu.

    “Oleh itu, perhimpunan agung ini juga adalah badan paling tinggi dalam parti membuat keputusan PEJUANG untuk berundur secara terhormat daripada GTA.

    “Selain itu, kita turut mengadakan perbincangan panjang lebar mengenai gabungan mana yang kita (PEJUANG) jika sertai sekiranya ada menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlaku dalam tahun ini.

    “Jadi dalam hal ini, banyak pandangan dikemukakan, daripada pembahas yang mewakili negeri-negeri, akhirnya mandat diberikan kepada Majlis Eksekutif Pusat (MEP) untuk meneruskan rundingan dengan mana-mana pihak dan diputuskan di peringkat MEP,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, PEJUANG mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) di hotel sama.

    Mukhriz berkata, pada masa ini, PEJUANG tiada mempunyai sebarang keputusan, selain mandat untuk parti terbuka untuk berunding dan berbincang dengan mana-mana pihak.

    “Rundingan itu belum dibuat dan berbincang pun secara tidak rasmi, tetapi dalam masa terdekat ini kita akan bertemu pemimpin daripada gabungan sedia ada untuk kita terokai mengenai kemungkinan kerjasama yang boleh dipupuk sekiranya boleh, kalau tidak boleh tidak apalah.

    “Kita bukanlah seperti hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong.

    “Mandat yang diterima adalah meneruskan rundingan dan saya terpaksa mengakui, pandangan daripada negeri adalah berbeza-beza, mengikut keadaan di negeri itu,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, satu jawatankuasa akan ditubuhkan MEP untuk menilai semua pilihan yang ada.

    Berkenaan PRN, beliau berkata, semangat ahli berada pada tahap tinggi walaupun melalui banyak perkara khususnya keputusan PRN Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    “Namun kita merasakan tetap bersedia untuk menawarkan calon berbanding di PRN, iaitu buat keputusan di negeri mana kita berbanding, berapa bilangan kerusi dan tidak semestinya semua negeri,” katanya.

    Menjelaskan lanjut mengenai PRN, beliau berkata, PEJUANG akan meletakkan calon di negeri yang mana kehadiran partinya sudah dirasai selain tempat yang sudah banyak aktiviti dan mempunyai ahli ramai dengan beliu berpendapat negeri itu wajar untuk ditandingi.

    Ini kerana, ada teguran yang mahu PEJUANG ‘mengukur baju di badan sendirí’ dan apa jua ketetapan itu mengikut kemampuan parti.

    “Ketetapan mengikut kemampuan ini bukannya bermaksud dana, tapi sentimen kepada parti, berapa ramai ahli, kesiapsiagaan serta kebolehmenangan yang boleh jadi ukuran, itu yang akan diberi perhatian.

    “Ini kerana PRN tidak seperti PRU untuk kerusi Parlimen, yang pengundinya mahukan orang tempatan, senang untuk menarik sokongan.

    “Ia susulan pada PRU15 lalu, kita hadapi masalah apabila orang tidak kenal calon, masa berkempen itu kita habiskan masa untuk perkenal calon, jadi di peringkat Dewan Undangan Negeri, tentunya calonnya orang yang sudah dikenali,” katanya.

    Mukhriz juga memaklumkan, perwakilan sebulat suara melepaskan Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad dan sangat berterima kasih atas sumbangan dan jasa bekas Perdana Menteri itu kepada parti.

    “Kami tidak bermusuh dengan GTA dan tujuan kami berundur bukan cari gaduh dengan sesiapa, jika dalaman kami sendiri ada masalah, apa nilai tambah yang dapat diberikan,” katanya.

    Mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, Mukhriz menyatakan apabila ia suatu yang mengejutkan dan bermakna demokrasi sudah terkubur.

  • Perbezaan pendirian kerjasama dengan GTA punca Tun M letak jawatan – Mukhriz

    Perbezaan pendirian kerjasama dengan GTA punca Tun M letak jawatan – Mukhriz

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan mengenai punca peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti itu pada Disember tahun lalu.

    Menurut beliau, tindakan Mahathir itu diambil selepas berlakunya perbezaan pendirian antara dirinya dan bekas Perdana Menteri itu berhubung kerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Selepas PRU-15 yang menyaksikan Pejuang dan GTA hilang wang deposit dan kalah di semua kerusi ditandingi. Mesej saya terima daripada ahli kita mencadangkan supaya kita pertimbangkan semula hubungan dengan GTA.

    “Walaupun begitu, saya mengesyorkan agar ketetapan itu dibawa bincang dalam badan tertinggi parti iaitu Perhimpunan Agung yang kita adakan pada hari ini (Sabtu).

    “Tetapi Tun M yang juga memegang jawatan Pengerusi GTA desak supaya Pejuang terus menganggotai GTA. Di atas perbezaan pendirian itu Tun M ambil keputusan lepaskan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang,” katanya, lapor Sinar Harian

    Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan dasar semasa merasmikan Perhimpunan Agung ke-2 Pejuang yang turut disiarkan secara langsung di Facebook rasmi parti pada Sabtu.

    Dalam pada itu, Mukhriz berkata, Pejuang kini mempunyai lima pilihan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini antaranya terus menjadi parti komponen GTA dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

    Dua lagi pilihan adalah bertanding secara solo dan tidak bertanding bagi memberi fokus kepada usaha memperkuat parti menghadapi PRU16.

    Mengulas mengenai pendekatan bertanding secara bersendirian pada PRN kali ini, Mukhriz berkata, beliau percaya Pejuang mempunyai peluang untuk bersaing sekiranya parti menilai kembali jumlah kerusi yang mahu dimenangi.

    Katanya, Pejuang perlu mengukur baju di badan sendiri dengan mengambil iktibar daripada keputusan dicapai pada PRN Johor dan PRU15 lalu.

    “Saya percaya jika kita fokus, bertanding hanya beberapa kerusi sahaja di negeri tertentu, maka mungkin peluang kita untuk menang itu ada. Cumanya, kita tidak dapat menawarkan diri bagi membentuk kerajaan baharu di negeri.

    “Mungkin naratif kita sebaiknya ialah untuk menjadi pembangkang yang lantang mempertahankan hak rakyat bila kita berbahas dengan wakil kerajaan yang dipilih,” ujarnya.

    Pada masa sama, Mukhriz menerusi ucapan tersebut turut mengemukakan usul bagi melahirkan penghargaan kepada Dr Mahathir sebagai individu yang sebelum ini menubuhkan dan memimpin Pejuang.

  • Pejuang tidak terlibat cubaan tukar kerajaan

    Pejuang tidak terlibat cubaan tukar kerajaan

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini berkata, parti itu hanya memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tidak akan terlibat dengan sebarang percubaan untuk menukar kerajaan sedia ada.

    Beliau turut menegaskan, parti itu tidak terlibat dalam dakwaan terbaharu bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri semula.

    Beliau berkata, sekiranya benar, perkara tersebut perlu dibuktikan serta tidak boleh sekadar mendakwa sahaja.

    “Dalam hal percaturan politik nak tumbangkan kerajaan sedia ada, tukar Perdana Menteri kami (Pejuang) tak campur tangan. Kami pun empat orang sahaja, bagi kami (Pejuang) hanya membuat persiapan menghadapi PRU15.

    “Saya ingat rakyat pun dah meluat kalau asyik nak tukar-tukar ini, dah penat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pemukiman Parti Pejuang Negeri Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya di Kota Bharu hari ini.

    Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa beliau dihubungi Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula kerana sudah mendapat sokongan 119 ahli Parlimen. – BERNAMA

  • Sanusi tak akan minta maaf kepada Mukhriz

    Sanusi tak akan minta maaf kepada Mukhriz

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor tidak akan sama sekali membuat permohonan maaf berikutan pendedahannya berhubung pemindahan wang bernilai RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang didakwa dilakukan ketika Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjadi Menteri Besar.

    Menurutnya, ketika ini beliau amat mengharapkan supaya pihak berkuasa melakukan siasatan seadil-adilnya memandangkan dokumen-dokumen berkaitan hal itu sudah pun sampai kepada pihak berkuasa.

    “Saya takkan maaf dan sudah melakukan apa yang sepatutnya. Saya berharap jika benar pemindahan wang itu berlaku, satu hari nanti wang itu dapat dipulangkan.

    “Lain-lain perkara saya tak mahu ulas kerana dibimbangi mengganggu siasatan. Ke negara mana duit itu sampai, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan siasat,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

    Semalam Mukhriz meminta Muhammad Sanusi membuat laporan kepada pihak berkuasa agar dakwaan tersebut dapat disiasat sepenuhnya.

    Jika tidak, kata Mukhriz, Muhammad Sanusi perlu membuat permohonan maaf kerana membuat tuduhan yang dianggap liar itu.

    Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, terdapat empat transaksi dilakukan dalam pemindahan wang tersebut yang dilakukan pada 2014.

    “Empat transaksi itu bernilai RM3.295 juta, RM3.315 juta, RM3.305 juta dan RM3.278 juta,” jelasnya.

    Sementara itu Mukhriz berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan penasihat perundangannya untuk membincangkan mengenai tindakan yang akan diambil selepas ini.

    “Dalam masa sama, saya tegas menafikan apa yang didakwa itu dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis atau SPRM yang menyiasat isu ini,” katanya.

  • RM13j wang MBI ke Kanada semasa Mukhriz jadi MB?

    RM13j wang MBI ke Kanada semasa Mukhriz jadi MB?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak RM13 juta wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah didakwa dipindahkan ke dalam akaun di luar negara ketika Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjadi Menteri Besar Kedah sebelum ini.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, beliau sehingga kini masih lagi menyimpan slip bank berkaitan pemindahan wang tersebut yang didakwa berpangkalan di Kanada.

    Bagaimanapun beliau tidak langsung mendedahkan siapa pemilik akaun tersebut dan tujuan ia dipindahkan ke luar negara.

    “Saya tak ungkitkan hal lama tetapi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mukhriz sebut mengenai membangkitkan hal lama. Rasanya selama ini saya tak pernah bangkitkan hal beliau.

    “Ada hal lama pemindahan wang Menteri Besar Incorporated (MBI) ke satu akaun luar negara di Kanada. Berlaku pada zaman Mukhriz jadi Menteri besar, saya tak pernah sebut pun mengenainya sebelum ini, hari ini baru sebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

    Mengulas kenyataan Mukhriz dalam Sidang DUN mengenai kehadiran penasihat yang didakwa membantu dirinya membuat keputusan semasa menjadi Menteri Besar, Muhammad Sanusi secara sinis menegaskan selama ini Mukhriz bukanlah dikelilingi oleh penasihat sebaliknya ‘punah sihat’.

    “Saya bawa satu cerita saja iaitu apabila saya jadi kerajaan, dibawa dalam mesyuarat Exco untuk dibayar satu perbelanjaan yang dibuat oleh penasihat-penasihat Menteri Besar pada masa itu, untuk membekalkan kuih raya. Saya dapati harga beg untuk bekalan itu lebih mahal daripada harga kuih.

    “Sebab itu saya katakan, beliau bukan dikelilingi penasihat sebaliknya dikelilingi ‘punah sihat’,” ujarnya.

    Sementara itu Mukhriz ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut dalam sidang akhbar bersama ADUN-ADUN pembangkang pada petang ini mendakwa, beliau mengharapkan Menteri Besar dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung dakwaan itu.

    “Ini satu dakwaan yang cukup serius dan kita mengharapkan Muhammad Sanusi dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi. Tak bolehlah lontar dakyah atau tohmahan begitu saja seolah-olah ‘hit and run’.

    “Ini pertama kali saya dengar mengenai dakwaan tersebut. Jadi saya ingin sarankan supaya Muhammad Sanusi buat laporan polis kalau dia betul percaya benda itu berlaku,” katanya.