Oleh RAHIMI MOHAMAD

DUA pemancing dikhuatiri lemas selepas hanya bot dinaiki mereka sahaja yang ditemukan di Jeti Mados Kampung Air Putih di Kota Tinggi, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11.47 malam itu, bomba menerima panggilan kecemasan sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi untuk operasi pencarian.

Ketua Zon 2 yang juga Komander Operasi, Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata, mangsa dikenali sebagai Ramdan Sulaiman, 50, dan Amiruddin Abdul Malik, 53.

“Makluman awal diterima mendapati kedua-dua mangsa dipercayai sedang memancing ketika kejadian dan dipercayai lemas selepas hanya bot mangsa sahaja ditemui.

“Jarak bot dinaiki kedua-dua mangsa daripada jeti dianggarkan 400 meter dan keadaan air berkedalaman 15 meter.

“Ketika kejadian dimaklumkan cuaca baik. Pihak polis yang menerima maklumat awal kemudian telah memaklumkan kepada bomba bagi membantu pencarian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Al Hasra, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor juga telah berada di lokasi bagi menjalankan pencarian di lokasi tersebut.

Jelasnya operasi pencarian melibatkan ‘surface searching’ yang turut dibantu Pasukan Polis Marin.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini masih dijalankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here