rusa

2 lelaki kantoi seludup 7 rusa hidup di sempadan

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

HASRAT dua lelaki untuk menyeludup masuk tujuh ekor rusa hidup bernilai RM35,000 terkantoi, apabila kegiatan mereka berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan melalui Op Benteng Covid di sempadan Malaysia-Thailand di Pasir Mas, semalam.

Menurut Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi, pihaknya telah mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan di kawasan Jeram Perdah 2 pada pukul 10 malam tadi.

Justeru katanya, anggota terbabit terus mengekori kenderaan tersebut sebelum mengarahkan mereka berhenti di tepi Jalan Kampung Siram, Alor Pasir, Pasir Mas.

“Hasil pemeriksaan dibuat ke atas dua kenderaan tersebut, anggota kita menemui tiga kotak kayu besar yang di dalamnya terdapat tujuh ekor rusa hidup.

“Susulan itu, dua lelaki yang memandu kenderaan terbabit telah ditahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Azhari, berdasarkan siasatan dibuat, dokumen kebenaran memindah haiwan tersebut dipercayai dipalsukan, selain ia juga tamat tempoh.

Malah katanya, haiwan berkenaan juga dipercayai diseludup dari negara jiran memandangkan dagingnya mempunyai permintaan tinggi di seluruh negara.

“Jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM85,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *